
Penyanyi Wani Kayrie tampil menjelaskan dakwaan kononnya dia bakal membuat gimik mengumumkan perkahwinan ketika persembahannya di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-40, susulan spekulasi yang tular baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: AJL40 Angkat Tema Evolusi & Masa Depan Muzik Malaysia, Faizal Tahir & Hael Husaini Terima Anugerah Ikon
Artikel Berkaitan: AJL40: Aisha Retno ‘Bocor’ Sedikit Arrangement Lagu Tak Adil – ‘Gimik Ini Dah Fikir Dua Tiga Kali’
Wani Kayrie nafi buat gimik
Ketika ditemui OhBulan!, Wanie atau nama lengkpanya Syazwani Abdullah menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan andaian itu mungkin timbul kerana lagu ‘Cak Cak Cekuk’ mempunyai elemen yang berkait dengan tema perkahwinan.
Menurut Wanie, dia masih belum mempunyai sebarang perancangan untuk berkahwin, apatah lagi menjadikan perkara itu sebagai konsep persembahan.
Kahwin? tidaklah kut. Awal lagi nak kahwin, mungkin sebab orang rasa lagu ini tentang lagu kahwin, jadi orang ingat saya akan buat tema kahwin.
Tapi kalau boleh, kami cuba buat sesuatu yang lain. Kalau buat benda yang orang dah boleh jangka, nanti orang dah boleh agak. Apa yang saya boleh kata, kahwin itu bukan sayalah, mungkin artis lain.
Mengulas lanjut, pelantun lagu Jangan Jangan itu berkata dia memilih untuk tidak melakukan sebarang gimik kerana mahu memberi fokus terhadap prestasi persembahannya.
Untuk kali ini saya tak nak ada apa-apa gimik. Saya cuma nak buat persembahan dengan happy. Sebab ini kali pertama. Saya tak nak gimik itu mengganggu fokus dan prestasi saya.
Apa yang saya boleh katakan, saya cuma nak buat persembahan yang memorable untuk semua orang.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 26 tahun itu mengakui kurang gemar menggunakan gimik untuk menarik perhatian. Sebaliknya, dia lebih selesa mengekalkan konsep yang ringkas.
Sejujurnya, saya lebih suka keep it simple. Bila buat gimik, kita kena bijak dan pastikan semuanya selari sampai hari final.
Bagi saya, kalau ada gimik pun biarlah datang daripada konsep persembahan pada hari itu nanti.
Tapi untuk gimik sebelum persembahan, saya rasa tak perlulah. Sekarang saya sangat fokus untuk AJL, buat yang terbaik dan kekalkan konsep yang sederhana.
Untuk info, Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) bertemakan Meraikan 4 Dekad Evolusi dan Masa Depan Muzik Malaysia dengan mesej Love Your Legacy Elevate Your Future.
AJL40 akan berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 15 Ogos 2026, bermula pukul 9 malam dan disiarkan secara langsung menerusi TV3 serta platform penstriman Tonton.
Sepuluh finalis yang bakal berentap ialah Dayang Nurfaizah (Lemah), Aina Abdul (Kamu), Marsha Milan (Tangisan Seorang Pendosa), Wani Kayrie (Cak Cak Cekuk), K.O.I (Tiwikarma), Amir Masdi (Nurcinta), Aisha Retno (Tak Adil), Hazama (Semacam Pandora) serta Ryenald Guntabid menerusi Lumangad Oku Dika.
Naz Rahman dan Sissy Imann sekali lagi diberi kepercayaan menggalas tugas sebagai hos utama, manakala Fizi Ali dan Fiza Frizzy mengendalikan liputan karpet merah serta belakang pentas.