Seorang wanita berusia 60-an yang dilaporkan hilang ditemui meninggal dunia di dalam sebuah peti sejuk di sebuah kafe di Paju, Gyeonggi, Korea Selatan.

Artikel Berkaitan: Mayat Wanita Ditemui Dalam Beg Di Sungai Perak Disahkan Warga Asing 

Artikel Berkaitan: Pemilik Kedai Telefon Dib*nuh Dengan Tukul, Mayat Disorok Dalam But Kereta

Mayat wanita dalam peti sejuk

Memetik laporan Korea Herald, mangsa dilaporkan hilang di Seoul sekitar tengah malam Jumaat sebelum lokasi telefon bimbitnya dikesan di kafe tersebut.

Polis kemudian menjalankan pemeriksaan dan menemukan mayat mangsa berhampiran pintu masuk ruang sejuk beku berkeluasan kira-kira 30 meter persegi dengan suhu beberapa puluh darjah Celsius di bawah sifar.

Susulan itu, pemilik kafe iaitu lelaki berusia 30-an, ditahan kerana disyaki memerangkap dan membunuh wanita berkenaan.

Siasatan awal mendapati mangsa dan suspek dipercayai baru pertama kali bertemu di kafe itu sehari sebelum kejadian untuk membincangkan urusan sijil hadiah. Difahamkan suspek dipercayai menjalankan aktiviti menukar sijil hadiah kepada wang tunai.

Polis mengesyaki suspek membawa mangsa ke ruang sejuk beku selepas memberitahunya bahawa sijil hadiah disimpan di situ. Lebih mengejutkan, polis turut menemukan sijil hadiah palsu bernilai berpuluh bilion won di dalam ruang berkenaan.

Bedah siasat akan dijalankan bagi menentukan punca kematian mangsa, termasuk sama ada wanita itu dibunuh sebelum dimasukkan ke dalam ruang sejuk beku atau meninggal dunia selepas dikunci hidup-hidup.

Polis turut mendapati suspek meminta pekerjanya tidak hadir bekerja dan menutup operasi kafe bermula Khamis, sehari sebelum mangsa dilaporkan hilang.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif serta kronologi sebenar kejadian.

Sumber: Korea Herald