berita

Wanita Alami Tekanan Perasaan Masuk Dalam Airport Bawa Kancil

March 12th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Seorang wanita berusia 55 tahun dengan selamba telah memandu keretanya ke dalam sebuah bangunan yang juga merupakan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Terengganu. Kejadian ini juga turut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen sebaik sahaja ianya viral di media sosial.

Mengalami tekanan perasaan

Menerusi laporan Sinar Harian, tindakan spontan wanita ini telah mengejutkan orang awam yang berada di dalam bangunan tersebut. Bukan itu sahaja, keadaan di situ juga menjadi kelam kabut berikutan dengan kehadiran sebuah kereta jenis Perodua Kancil di balai ketibaan LTSM.

Menurut sumber, wanita yang memandu seorang diri itu mengalami tekanan perasaan sehingga dia nekad bertindak sedemikian. Menurut Pengurus LTSM, Che Sulaiman Che Pa berkata, pihak mereka telah cuba menghalang wanita itu daripada memasuki bangunan itu. Tetapi wanita berkenaan langsung tidak menghiraukannya dan terus memandu masuk ke bangunan tingkat satu itu.

Diserahkan kepada pihak polis

Mangsa juga dikatakan enggan keluar daripada kereta walaupun pihak mereka sudah puas memujuk dan menenangkannya. Mereka akhirnya bertindak mematikan enjin serta mengambil kunci kereta. Walaupun begitu, wanita berkenaan langsung tidak berganjak dan pihak LTS terpaksa menolak keluar perodua Kancil dari balai pelepasan dengan wanita itu di dalam kereta.

Harian Metro turut melaporkan, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Terengganu/Kuala Nerus, Kapten (PA) Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, pasukannya itu bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima laporan daripada orang awam. Wanita tersebut kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Sumber: Sinar Harian, Harian Metro

SKIP THIS AD ×