
Program bual bicara wanita popular TV3, Wanita Hari Ini (WHI) tampil dengan nafas baharu menerusi pendekatan yang lebih segar dan dinamik.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Fahrin Ahmad Gagal Tahan Sebak, Menangis Ketika ‘Live’ WHI Sebab Rindu Arwah Ibu
Artikel Berkaitan: Uyaina Arshad Diserang ‘Migraine Aura’, Hampir Pengsan Ketika Live WHI
Tiga wajah baharu
Transformasi ini bukan sahaja melibatkan pengisian program, malah turut menyaksikan WHI memperluas kandungannya ke platform digital bagi memenuhi keperluan serta minat wanita masa kini.
Bermula 13 September 2026, WHI akan bersiaran pada setiap Ahad menerusi slot baharu dari jam 2 hingga 3 petang.
Antara segmen yang bakal mengisi program berkenaan termasuk WHI Trend, WHI Cantik, WHI Menu, WHI Curhat, WHI Kasih dan Pesona Nona, selain perbincangan mengenai pelbagai isu semasa yang dekat dengan kehidupan wanita.
Tidak terhad kepada siaran hujung minggu, WHI turut memperkenalkan WHI Vibe, iaitu segmen ringkas berdurasi lima minit yang akan menemui penonton setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 12 tengah hari.
Dalam masa sama, kandungan digital baharu WHI juga akan dimuat naik pada waktu sama menerusi platform digital rasmi bagi membolehkan penonton mendapatkan lebih banyak perkongsian, inspirasi dan perkembangan terkini daripada program berkenaan.
Menariknya, perubahan ini turut menyaksikan barisan pengacara WHI diperluaskan dengan kehadiran tiga wajah baharu iaitu Hanna Faresha, Nurin Razmyn dan Izza Izelan.
Mereka akan bergandingan bersama hos sedia ada iaitu Fiza Sabjahan, Syahira Izzaty dan Sugeeta Chandran.
Ketiga-tiga wajah baharu itu turut membawa latar belakang berbeza yang dijangka memberikan perspektif lebih pelbagai kepada program tersebut.
Hanna Faresha dikenali sebagai pelakon serta ikon gaya hijab, manakala Nurin Razmyn merupakan seorang pempengaruh. Izza Izelan pula mempunyai pengalaman dalam bidang kewartawanan penyiaran.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Operasi, Strategi Kandungan & Audiens, Rangkaian TV & Kandungan Media Prima, Puan Farah Shamsudin, berkata, perubahan ini sebagai satu usaha untuk memastikan WHI kekal relevan dalam landskap media yang sentiasa berkembang.
WHI mempunyai nilai tersendiri sebagai sebuah jenama yang telah lama menemani audiens menerusi pelbagai generasi.
Dalam landskap media yang sentiasa berubah, kami sentiasa menilai cara terbaik untuk menyampaikan pengalaman yang memenuhi kehendak penonton hari ini.
Transformasi ini mencerminkan komitmen kami untuk membawa WHI terus berkembang, sambil mengekalkan identiti dan kekuatan yang telah membina kepercayaan audiens selama ini.
Dengan gabungan hos berpengalaman dan wajah baharu, WHI diharap terus menjadi ruang yang mengetengahkan inspirasi, perkongsian serta aspirasi wanita Malaysia menerusi kandungan yang lebih dekat dengan kehidupan mereka.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai Wanita Hari Ini (WHI), ikuti laman media sosial rasmi @TV3Malaysia di Facebook, Instagram, X, Threads dan TikTok, serta Wanita Hari Ini TV3 di Facebook, @whitv3 dan @inspirasi_nona di Instagram, WHI TV3 dan inspirasi_nona di Threads, serta @whitv3malaysia_official di TikTok.