Seorang wanita berstatus ibu tunggal ditahan bersama teman lelakinya selepas disyaki mendera anaknya yang berusia 15 bulan sehingga mati.

Artikel Berkaitan: Disyaki Dera Anak Hingga Maut Guna Kayu, Tali Pinggang & Penyangkut Baju, Pasangan Kekasih Ditahan Polis

Kesan lebam pada beberapa anggota

Memetik laporan Harian Metro, kejadian itu terbongkar selepas suspek menghantar bayinya yang dalam keadaan tidak sedarkan diri ke Hospital Tampin pada malam Ahad.

Menurut sumber, wanita itu mendakwa bahawa dia menidurkan anak tunggalnya pada jam 10 malam sementaranya teman lelakinya menguruskan kedai.

Suspek yang bercerai tahun lalu turut mendakwa anaknya itu tidak sedarkan diri ketika cuba dikejutkan pada jam 10.30 malam untuk pulang ke rumah mereka di Tampin.

Pihak hospital kemudiannya membuat laporan polis selepas pemeriksaan dilakukan doktor mendapati terdapat kesan lebam pada perut, belakang badan serta lubang dubur bayi malang itu.

Pasangan itu kemudian membawa bayi itu ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan pada jam 11 malam sebelum doktor yang memeriksa mendapati mangsa mengalami kecederaan dan meninggal dunia.

Hasil siasatan awal mendapati wanita itu membawa anak tunggalnya itu dari Kampung Anak Air Durian Daun Pondoi, Tampin ke tempat kerja teman lelakinya berusia 20 tahun di Bandar Satelit, Pulau Sebang di sini kira-kira 6.30 petang semalam (Ahad).

Wanita itu kemudian keluar untuk membeli makanan dan meninggalkan bayi dengan kekasihnya yang juga pemain muzik.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Leow Kian Heong yang mengesahkan kejadian itu memaklumkan pasangan kekasih tersebut akan direman di Mahkamah Majistret Alor Gajah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sumber: Harian Metro