Di Facebook seorang ibu yang dikenali sebagai Azlindahani, berkongsi satu kisah sedih, dan posting tersebut meraih perhatian warganet. Menerusi perkongsian tersebut, anak bongsunya menginginkan untuk mempunyai satu hadiah ‘istimewa’ bersempena hari jadinya.
Hadiah hari jadi
Ketika kejadian, si ibu bertanyakan kepada anak bongsunya akan hadiah yang diinginkan bersempena dengan hari jadinya pada bulan October nanti. Namun, jawapan anaknya yang dikenali sebagai Syahmi, membuatkan dia berasa sebak. Pada mulanya, dia tidak begitu faham dengan ‘hadiah’ yang diinginkan oleh anaknya. Namun, selepas beberapa ketika, baru dia faham bahawa anaknya menginginkan untuk mempunyai sepasang kaki dan ketinggian sama seperti abangnya.
Tergamam dengan permintaan tersebut, dia hanya mampu memujuk anaknya dengan sebaik mungkin. Pada penghujung posting tersebut, dia memberikan janji akan menjaga anaknya dengan sebaik mungkin hingga ke hujung hayat.
Anugerah terindah buat saya
Menerusi temu bual yang dijalankan bersama Harian Metro, ibu kepada Syed Danial Syahmi, bersama suami, Syed Mohd Yusuf menceritakan bahawa anak bongsunya merupakan anugerah teristimewa yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. buat mereka. Jelasnya lagi, proses membesarkan Syahmi tidak memberi sebarang masalah kepadanya sejak hari pertama dia dilahirkan.
Difahamkan, Syahmi dilahirkan tanpa betis, mempunyai masalah jantung berlubang dan hanya mempunyai sebelah buah pinggang sahaja.
Saya sedih kerana tidak mampu tunaikan hajatnya itu sedangkan sejak Syahmi lahir, saya sudah berjanji dengan diri sendiri untuk beri apa yang dia mahukan.
Sebelum ini, Syahmi juga pernah meluahkan keinginan yang sama iaitu ingin berlari dan berjalan seperti abangnya. Namun, si ibu hanya mampu memujuknya dengan sebaik mungkin.
Diberitahu sejak hamil
Azlindahani turut menceritakan bahawa dia sudah diberitahu oleh doktor mengenai keadaan anaknya sewaktu dia hamil lagi. Sebelum ini, doktor, menyatakan kemungkinan Syahmi meninggal dunia dalam kandungan atau hanya mampu bertahan untuk tempoh setahun selepas dilahirkan.
Ketika hamil empat bulan, doktor beritahu ada kecacatan dalam kandungan dan meminta saya melakukan ujian untuk mengenal pasti sekiranya ada kromosom yang berbahaya. Sekiranya ada, doktor akan mengesyorkan saya menggugurkan kandungan tetapi saya enggan lakukan ujian kerana bimbang.
Jelasnya lagi, pada mulanya dia berasa bimbang dengan keadaan jantung anaknya yang berlubang, namun perkara tersebut berubah apabila seorang doktor dari Institu Jantung Negara (IJN) menyatakan jantung anaknya masih boleh dirawat.
Sumber: Harian Metro & Azlindahani