berita

Wany Hasrita Akur & Hormat Keputusan Jamal Abdillah, Sedia Berikan Terbaik Di Pentas AJL38

February 20th, 2024 | by Amirul Ilyasha
Kini Trending

Pasangan duet kepada Datuk Jamal Abdillah iaitu Wany Hasrita tampil memberikan komennya susulan penarikan diri ‘Raja Pop’ tersebut daripada pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38).

Artikel Berkaitan: Afieq Shazwan Ganti Jamal Abdillah, FMC Hormat Keputusan Tarik Diri

Akur dan hormat keputusan Jamal

Menerusi temu bual bersama OhBulan!, Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah berkata dia akur serta hormat dengan keputusan yang dibuat oleh Jamal.

Selepas saya baca kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak syarikat rakaman kami iaitu FMC Music, apa yang saya boleh katakan ialah saya tidak boleh komen berlebihan kerana perkara ini melibatkan syarikat rakaman dan juga penerbitan.

Tetapi, saya faham, akur, hormati serta faham dengan keputusan Datuk Jamal yang menarik diri dari bertanding di pentas AJL38.

Dalam pada itu, pelantun lagu ‘Menahan Rindu’ ini memaklumkan dia akan berusaha sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik dengan pengganti kepada Jamal iaitu Afieq Shazwan di pentas AJL38 nanti.

Sebagai pendatang baharu, saya akan menggalas tanggungjawab untuk berikan yang terbaik di pentas AJL38.

Saya tetap akan teruskan persembahan dengan pengganti Datuk Jamal iaitu Afieq Shazwan sepertimana yang telah diamanahkan oleh penulis serta pencipta lagu.

Terdahulu, Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Haji Mohd Ali mengumumkan penarikan dirinya daripada bertandingan di pentas akhir AJL38.

Menurut pelantun lagu ‘Penghujung Rindu’ itu, dia terpaksa menarik diri kerana sudah terikat dengan komitmen kerja lain yang sudah dipersetujui terlebih awal.

Pihak FMC Music kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan mengesahkan mengenai perkara tersebut dan memaklumkan bahawa tempat Jamal akan digantikan dengan penyanyi muda berbakat iaitu Afieq Shazwan setelah mendapat persetujuan dengan pencipta lagu, Ezra Kong.

SKIP THIS AD ×