Umum mengetahui, Ahmad Syafiq dan Wani Kayrie merupakan penyanyi yang menggantikan tempat penyanyi asal, Hafiz Suip dan Ernie Zakri menerusi lagu ‘Berakhirlah Pencarianku‘ di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 37 (SFMM37) pertama, semalam.
Berikutan daripada itu, Wani berkata mereka berdua hanya mempunyai masa seminggu untuk berlatih dan menguasai lagu itu dengan baik sebelum dipersembahkan secara langsung.
Mesej Ernie Zakri
Menurut Wani, lagu tersebut perlu disampaikan mengikut melodi asal. Oleh itu, dia dan Syafiq telah melakukan yang terbaik dan menyampaikan mesej lagu itu dengan seikhlas hati. Tambah Wani lagi, mereka berdua diminta oleh pihak pengurusan dan label untuk mengekalkan cara yang disampaikan oleh penyanyi asal.
Memang agak rasa gemuruh sebab orang Malaysia menantikan persembahan kami yang menggantikan tempat penyanyi asal. Alhamdulillah, tekanan itu hilang automatik ketika kami menyanyi. Wani ada rujuk dan mesej Kak Ernie untuk minta tips. Kak Ernie cuma pesan menyanyi dengan ikhlas dan anggap ia seperti lagu kami sendiri.
Sekiranya ada rezeki kami, kami akan tampilkan perbezaan dari segi susunan muzik dan susunan vokal. Kami akan cuba nampakkan identiti kami sendiri.
Disoal mengenai komen netizen berhubung isu penyanyi ganti, Syafiq mengakui ianya terganggu namun melihatnya dari sudut positif.
Netizen mula memberi komen sejak seminggu lalu. Kami ada terbaca. Sepatutnya, kami tidak baca agar tak rasa ‘down’. Namun, kami jadikan sebagai pembakar semangat dalam memberi komitmen pada persembahan kami.