Menteri Dalam Negeri iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin akan mengambil tindakan tegas kepada kira-kira 200 warga asing yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan menghadirkan diri menunaikan solat sunat Aidiladha di Seberang Perai, Pulau Pinang.
Tindakan tegas akan diambil
Memetik laporan Astro Awani, Menteri Dalam Negeri itu meminta Ketua Polis Pulau Pinang memberi penjelasan terperinci mengenai sebuah video yang viral di media sosial menyaksikan ramai warga asing berhimpun di luar pekarangan Surau Taman Pelangi, Juru pada pagi hari raya.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain juga diminta memberikan laporan serta penjelasan terperinci pada kadar segera berhubung penugasan anggota PDRM yang dipertanggungjawabkan untuk memantau SOP di lapangan terutamanya semasa perayaan Hari Raya Aidiladha tahun ini.
Kita memberikan jaminan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat menganjurkan majlis tersebut.
Jangan keluarkan sebarang kenyataan
Difahamkan, rata-rata warga asing yang menghadiri surau itu tidak mendapat tempat untuk bersolat di dalam rumah ibadah tersebut memandangkan jumlah jemaah dihadkan hanya untuk 100 orang sahaja. Oleh hal yang demikian, mereka bertindak menunaikan solat sunat Aidiladha di pekarangan surau tersebut.
Dalam pada itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan Ibu Pejabar Polis Kontinjen Pulau Pinang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah ketika ini sedang memulakan siasatan terhadap video yang dirakam netizen itu.
Katanya lagi, mana-mana individu dilarang untuk mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama dan perkauman yang boleh mendatangkan ketidaktenteraman awam sementara siasatan sedang dijalankan.
Sumber: Astro Awani