MTV World Stage kembali lagi! Ya, pastinya peminat muzik di luar sana tak sabar menantikan konsert yang menghimpunkan penyanyi-penyanyi antarabangsa di atas satu pentas pada tahun ini.
Jika tahun lepas Joe Flizzow, Robin Thicke, Far East Movement dan EXO telah dipilih sebagai penghibur, tetapi nampaknya MTV World Stage kali ini bakal membuka peluang julung kalinya kepada penyanyi terkenal yang lain pula.
Semalam, MTV telah mengumumkan kemunculan penyanyi kebanggaan Malaysia iaitu Yuna untuk membuat persembahan di hadapan ribuan peminat dan akan berkongsi pentas dengan kumpulan K-Pop terkenal, Boys Republic.
Barisan penghibur pada MTV World Stage 2014 ini dijangka bakal menarik lebih 15,000 penonton yang hadir bagi menyaksikan persembahan menarik dan epik bertaraf dunia ini.
Sama seperti tahun lepas, konsert yang telah memasuki tahun keenam itu akan dikendalikan sekali lagi oleh VJ MTV Alan dan Hanli. Sementara itu, nama penyanyi-penyanyi lain bakal diumumkan oleh pihak penganjur dalam masa terdekat.
Kepada peminat yang ingin menyaksikan persembahan MTV World Stage pada 16 Ogos 2014 di Surf Beach, Sunway Lagoon, jangan lupa untuk mengambil bahagian dalam peraduan yang akan dianjurkan mulai 16 Jun ini.
Segala perkembangan mengenai MTV World Stage akan dikemaskini dari semasa ke semasa menerusi Facebook, Twitter dan Instagram MTV Asia.