
Penyanyi, Noraniza Idris terus memperkukuh usaha dalam memartabatkan warisan negara menerusi penganjuran Zapin Living Lab – Akar Kita Zapin (AKZ) 6.0.
Artikel Berkaitan: ‘Lagu Raya Tak Perlu Terlalu Kreatif & Bersaing Dengan Trend Sekarang’ – Noraniza Idris
Artikel Berkaitan: Noraniza Idris Bimbang Penari Zapin Semakin Berkurang – ‘Ramai Pandai Menari Tapi Tiada Ilmu’
Konsep Tingkah Laga Zapin

Program yang berlangsung di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana itu berperanan sebagai platform pendidikan budaya yang menggabungkan elemen ekosistem pembangunan budaya berasaskan warisan, selaras dengan aspirasi Visit Malaysia 2026.
Menurut Noraniza, selaku pengasas Akar Kita Zapin (AKZ), edisi keenam program ini menampilkan pendekatan baharu menerusi konsep Tingkah Laga Zapin, iaitu satu bentuk disiplin dalam permainan zapin tradisional Melayu yang berteraskan kebijaksanaan budaya Melayu.
Kata Noraniza, masyarakat hari ini cenderung melihat zapin sebagai persembahan pentas semata-mata, sedangkan ia merupakan sebahagian daripada cara hidup dan sistem budaya Melayu sejak dahulu.
Saya masih ingat ketika berusia sekitar tujuh tahun, arwah datuk menunjukkan kepada saya bagaimana orang-orang tua bermain zapin.
Ketika itu saya belum memahami sepenuhnya maksud permainan tersebut.
Apabila dewasa, saya mula menyedari bahawa zapin bukan sekadar tarian, tetapi sebuah sistem ilmu yang sangat tinggi nilainya.
Tambahnya lagi, istilah Tingkah Laga Zapin sering disalah tafsir sebagai perbalahan atau pertandingan semata-mata, sedangkan konsep tersebut sebenarnya mendidik tentang nilai adab dan kebijaksanaan budaya Melayu.
Tingkah Laga bukan perbalahan, Tingkah Laga ialah kebijaksanaan Melayu.
Dalam budaya Melayu, kemenangan bukan hanya diukur melalui kehebatan.
Kita diajar menghormati lawan, menjaga maruah, berfikir sebelum bertindak dan sentiasa mengutamakan adab.
Selain itu, AKZ 6.0 mencatat sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya menghimpunkan pewaris tujuh aliran Zapin Warisan Johor dalam satu modul pembelajaran, sekali gus memberi peluang kepada peserta mendalami sejarah, falsafah dan identiti setiap aliran zapin.
Antara pewaris yang terlibat ialah Mohamad Akmal Zainal Abidin (Zapin Pekajang), Majid Rawino (Zapin Lenga), Mohamad Faizal Abas (Zapin Koris), Profesor Dr. Mohd Anis Md. Nor (Zapin Melayu Johor), Diana Sulaiman (Zapin Seri Bunian), Noliza Salleh (Zapin Tenglu) dan Zubaidah Keliwon (Zapin Parit Mastar).
Saya bukan adiguru.
Saya hanyalah penyambung legasi yang diberi amanah untuk mempertemukan pewaris dengan generasi pelapis agar ilmu mereka terus hidup.
Dapat sokongan pelbagai pihak

Dalam pada itu, seramai 380 peserta dari negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang dan Perak turut menyertai bengkel percuma yang dianjurkan sepanjang program berlangsung.
Program ini turut menerima pengiktirafan daripada Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia menerusi pensijilan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).
Dalam masa sama, pengunjung turut disajikan dengan demonstrasi Tingkah Laga Zapin, persembahan istimewa Noraniza Idris bersama Ikon Tari AKZ 6.0, penampilan penyanyi Azmir Arif serta sesi perkongsian daripada tokoh dan pewaris zapin.
Selain itu, penganjur menyasarkan kehadiran lebih 1,000 pengunjung sepanjang program berlangsung, sekali gus menjadikan Zapin Living Lab – AKZ 6.0 sebagai platform penting dalam memperkasa warisan Melayu melalui pendidikan, industri kreatif dan pelancongan budaya.
Sementara itu, majlis pelancaran AKZ 6.0 disempurnakan oleh Penaung Akar Kita Zapin (AKZ), YM Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi bin Y.A.M. Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj, yang sejak 2012 terus komited menyokong pembangunan AKZ sebagai medium pemeliharaan warisan budaya negara.
Pihak Kopi King selaku penaja utama turut memeterai kerjasama strategik dengan melantik Noraniza Idris sebagai Duta Jenama Kopi King.
Ujar Noraniza, sokongan daripada pihak korporat membuktikan bahawa warisan budaya bukan sekadar nilai sejarah, tetapi turut berpotensi berkembang sebagai sebahagian daripada ekonomi kreatif negara.
Sehubungan itu, penganjuran AKZ 6.0 juga mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta BSKK, Kementerian Pendidikan Malaysia, selain diiktiraf di bawah pensijilan PAJSK.







![[VIDEO] Individu Tegur Penampilan Nampak Dewasa, Thalita Bidas – ‘Saya Duduk Atas Pentas, Makeup Kena Tebal’](https://asset.ohbulan.com/2026/07/thalita-1.jpg)
