Pelakon, Zarif Ghazzi mendedahkan pernah berdepan situasi kurang menyenangkan apabila terdapat peminat yang disifatkan terlalu obses sehingga sanggup menghantar mesej secara peribadi kepada ibunya.

Artikel Berkaitan: Tercalon Selebriti Paling Viral! Zarif Ghazzi Syukur Sebaris Fattah Amin & Hun Haqeem

Peminat obses

Menurut Zarif, 22, dia tidak pernah menghalang sesiapa untuk meminatinya, malah menghargai setiap sokongan yang diberikan peminat sepanjang penglibatannya dalam industri seni.

Bagaimanapun kata Zarif, keterujaan itu perlu ada batas agar tidak melibatkan hal peribadi dan keselamatan keluarga.

Untuk meminati seseorang itu tidak ada masalah. Saya sangat menghargai perkara itu. Saya benar-benar menghargai usaha peminat yang menyokong dan meminati saya.

Cuma, kalau boleh, janganlah sampai ke tahap terlalu peribadi. Ada yang menghantar mesej, DM kepada keluarga saya. Kalau boleh, tidak perlulah. Mereka tanya, ‘Hai, assalamualaikum ibu, ini saya, saya meminati Zarif.’

Saya juga terkejut, tak tahu bagaimana mereka dapat nombor ibu saya. Siap ‘WhatsApp’ ibu saya.

Zarif berkata demikian ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Jakel Fenomena Raya 2026 dan pengumuman Duta Paling Mega Jakel di Jakel Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah aktor asal Johor itu, sebagai seorang artis dia memahami perhatian yang diterima adalah sebahagian daripada kerjaya, namun situasi berbeza apabila melibatkan kehidupan peribadi di luar waktu bekerja.

Bagi saya, sebagai seorang pelakon, ini adalah pekerjaan. Tetapi apabila saya berehat dan tidak bekerja, saya mohon sangat agar peminat tidak sampai mengikuti ke rumah atau perkara peribadi lain.

Setakat ini, alhamdulillah, peminat saya masih tidak tahu saya tinggal di mana. Kampung saya di mana pun mereka tidak tahu.

Saya memang kurang selesa. Sebab bagi saya, saya masuk industri ini seorang diri. Keluarga saya tidak sepatutnya terlibat.

Tambah pelakon drama Seribu Tahun itu lagi, isu tersebut juga berkait rapat dengan aspek keselamatan dirinya dan keluarga.

Bagi saya, ini berkait dengan keselamatan. Itu dunia saya. Keluarga adalah perkara yang saya jaga daripada orang luar.

Justeru, Zarif menitipkan pesanan kepada peminat agar terus menyokong kerjayanya secara berhemah dan menghormati batas privasi.

Sebagai seorang pelakon, saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua peminat yang menyokong saya dari dulu sampai sekarang. Namun seperti saya katakan, lakonan adalah pekerjaan. Di luar itu, saya juga manusia biasa

Saya sangat mengharapkan agar peminat menghormati privasi saya. Saya melayan semua peminat dengan sama, sebagai peminat. Ada batas antara seorang pelakon dan orang yang meminatinya.