Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bakal menganjurkan Program Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2026 Ahad ini.

Artikel Berkaitan: Zed Zaidi Tak Setuju Kenyataan Ahmad Idham Kaitkan FFM35 Dengan Unsur Kroni

Artikel Berkaitan: FFM35: CEO FINAS Restu Kemenangan Khadam, Juri ‘Pening Kepala’ Pilih Pemenang

HARA 2026

Presiden SENIMAN, Zed Zaidi berkata, program tersebut bertujuan menyemai kesedaran antirasuah dan kepentingan integriti dalam kalangan penggiat seni.

Menurutnya, nilai integriti perlu menjadi amalan dalam kehidupan seharian serta setiap urusan profesional warga industri kreatif.

Kita mahu penggiat seni memahami bahawa isu integriti ini dekat dengan kehidupan dan kerjaya mereka.

Sebab itu, pendekatan lebih santai dan mesra dipilih supaya mesej antirasuah dapat disampaikan dengan lebih berkesan.

Mengulas mengenai tanggungjawab anak seni dalam usaha membanteras rasuah, Zed berpendapat setiap individu yang terlibat dalam industri kreatif perlu meletakkan integriti sebagai asas utama ketika menjalankan tugas.

Jelasnya, penggiat seni perlu memanfaatkan pengaruh mereka untuk menyebarkan nilai integriti serta menolak rasuah dalam kehidupan dan urusan profesional.

Ahli SENIMAN mempunyai peranan penting, bukan sahaja sebagai penggiat seni tetapi juga individu yang mempunyai pengaruh kepada masyarakat.

Setiap ahli perlu mengamalkan integriti dalam urusan kontrak, pembayaran, pengurusan produksi dan hubungan profesional.

Kita perlu berani menolak rasuah dan tidak berkompromi dengan sebarang amalan yang salah. Seni bukan sekadar hiburan, tetapi medium untuk menyampaikan nilai dan membentuk masyarakat.

Dalam pada itu, Zed turut menggalakkan ahli SENIMAN menyertai program tersebut bagi memahami hak dan tanggungjawab mereka sebagai penggiat seni.

Kita mahu membina industri seni yang lebih profesional, telus dan dipercayai. Paling penting, generasi penggiat seni akan datang dapat bekerja dalam persekitaran yang lebih baik.

Selain taklimat khas daripada SPRM, program sehari itu turut menyediakan pelbagai pengisian menarik termasuk bengkel TikTok secara percuma serta pertandingan menghasilkan video pendek Public Service Announcement (PSA) yang menawarkan hadiah menarik kepada peserta.

Program ini turut menyasarkan penyertaan warga industri kreatif, FINAS dan pelajar, selain menampilkan pameran daripada rakan industri dan persembahan artis bagi memeriahkan acara.

Sekadar info, HARA 2026 bakal berlangsung pada 29 November ini, bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang di Kompleks Studio Merdeka FINAS, Ulu Kelang, Selangor.