Penyanyi Zizi Kirana, berkongsi rasa pilu susulan negara kehilangan sosok wanita hebat yang menjadi pendamping tokoh disegani Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu isterinya Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali.

Artikel Berkaitan: ‘Hari Ini Negara Kehilangan Sosok Keibuan Yang Dekat Di Hati Rakyat’ – PM

Artikel Berkaitan: ‘Beliau Ketawa Bersama Kami, Beri Nasihat Tentang Perkahwinan..’ – Syed Saddiq Sebak Kenang Momen Terakhir Bersama Tun Hasmah

Kenang pemergian

Menerusi hantaran di Threads, Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil, 41, berkongsi momen pertemuan bersama Allahyarhamah Tun Dr Hasmah baru-baru ini.

Baru minggu lalu, setelah 41 tahun usia saya, Allah izinkan saya akhirnya bertemu beliau secara berdepan.

Saya sempat bersalaman dengan Tun, dan beliau sempat menegur, “Kenapa tangan sejuk?”

Hari ini, teguran itu menjadi satu kenangan yang akan saya simpan dalam hati sampai bila-bila.  

Menurut Zizi, dia sama sekali tidak menyangka momen tersebut akan menjadi pertemuaan terakhirnya bersama figura hebat itu.

Dalam masa sama, Zizi turut memanjatkan doa kehadrat Allah SWT agar semua dosa-dosa Allahyarhamah diampuni dan setiap ibadahnya diterima.

Tak pernah terlintas bahawa pertemuan yang begitu istimewa itu rupanya menjadi salam terakhir saya buat Allahyarhamah.

Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarhamah, menerima segala amal solehnya, melapangkan dan menerangi alam kuburnya, serta menempatkan beliau dalam rahmat dan syurga-Nya.

Al-Fatihah buat Allahyarhamah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Terdahulu, media melaporkan Allahyarhamah Tun Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN).

Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pagi tadi pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh orang anak.

Sumber: Threads