Komposer dan penyanyi berpengalaman, Zul 2by2 berpendapat bahawa tiada sebarang kesalahan sekiranya golongan pempengaruh media sosial mahu menghasilkan lagu raya yang kini dilihat menjadi trend sejak kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan: ‘Selagi Cara Promosi Lagu Raya Masih Menghormati Ramadan, Rasanya Tiada Masalah’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Aliff Syukri Tampil Dengan Lagu Raya ‘Mama Papa Raya’, Netizen Approved – ‘Tahun Ni Sedap!’

Trend influencer keluar lagu raya

Zul atau nama penuhnya Zulkefli Majid, 54, berkata, fenomena tersebut wajar dilihat secara terbuka selagi individu terbabit mempunyai kemampuan dan minat dalam bidang nyanyian.

Saya sudah lama berada dalam industri muzik sejak 1994. Bagi saya, isu pempengaruh keluarkan lagu raya ini bergantung kepada kemampuan masing-masing.

Sekarang ini, sesiapa sahaja boleh mengeluarkan single. Tak kisah dia pempengaruh, penjual nasi lemak atau apa pun latar belakangnya, kalau pandai menyanyi, silakan.

Zul berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu raya terbaharu berjudul Lagu Raya Kita Punya yang berlangsung di ibu kota, pada Selasa.

Tambah pelantun lagu Kau Mawarku itu lagi, kualiti sesebuah karya tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu penyanyi, sebaliknya bergantung kepada kebijaksanaan pencipta lagu itu sendiri.

Sedap atau tidak sesebuah lagu itu bergantung kepada siapa yang hasilkan. Pencipta lagu perlu tahu kesesuaian penyanyi.

Setiap penyanyi ada kekuatan dan kelemahan. Tugas komposer adalah mengurangkan kelemahan dan menonjolkan kelebihan mereka.

Kalau lagu raya itu kurang sedap, jangan salahkan penyanyi atau pempengaruh, sebaliknya lihat siapa yang mencipta lagu tersebut.

Lagu Raya Kita Punya

Dalam perkembangan lain, Lagu Raya Kita Punya turut menampilkan barisan selebriti dan personaliti popular seperti Maya The Girls, Chef Shah World, Madam Liza, Nadia Rozi dan Sifu Dr Rayyan.

Mengulas lanjut mengenai lagu ciptaan bersama Madi Mulyadi itu, Zul memaklumkan bahawa karya berkenaan merupakan single kedua di bawah syarikat rakaman Fiz Star Empire.

Lagu ini menampilkan enam penyanyi termasuk saya sendiri. Keistimewaannya, kami selitkan loghat Perak selain gabungan elemen rap, dangdut dan joget.

Orang kata, biarlah meriah dalam satu lagu. Barulah benar-benar menceriakan suasana hari raya.

Sementara itu, Bonda Puteri Ryana selaku penerbit percaya Lagu Raya Kita Punya mempunyai keunikan tersendiri dan berpotensi menarik minat pendengar menjelang Aidilfitri.

Lagu ini sangat ‘catchy’ dan mudah melekat di telinga walaupun baru dengar kali pertama. Saya sendiri cepat jatuh cinta dengan lagu ini dan berharap pendengar juga merasai perkara yang sama.

MV Lagu Raya Kita Punya