berita

ND Lala Rela Dipersalahkan Atas Pemakaian Shila, Mohon Tidak Label Anaknya Sebagai Ikon Muslimah

April 21st, 2014 | by Ai
Isu & Kontroversi

Press Conference Shila Amzah -Love In Concert--29

Beberapa minggu lalu, para peminat di Malaysia dikejutkan dengan gaya pemakaian Shila Amzah di China yang disifatkan sebagai seksi dan tidak sesuai dengan imej bertudung.

Daripada beberapa keping gambar yang tersebar, Shila dilihat memakai dress pendek paras peha dan digandingkan dengan legging mirip warna kulit.

Bukan seorang dua yang menghentam, malah terdapat segelintir peminat di China juga mempertikaikan fesyen Shila pada persembahan malam tersebut.

Press Conference Shila Amzah -Love In Concert--22

Namun sewaktu bertemu Shila di Menara Kuala Lumpur pada Jumaat lepas, barulah empunya badan dan bapanya, ND Lala menjelaskan perkara sebenar.

Menurut Shila, dia menyerahkan hal pemakaian kepada pihak pengurusan dan hal tersebut tidak sepatutnya menjadi isu besar memandangkan bapanya turut bersama pada ketika itu.

Sebagai bapa pula, ND Lala mengambil tanggungjawab penuh di atas kesilapan tersebut dan berharap orang ramai tidak menyalahkan Shila.

nd-lala

Saya bertanggungjawab dengan apa yang berlaku mengenai pemakaian Shila di sebuah program di China. Sebenarnya sejak Shila menyertai pertandingan ‘I Am Singer’, dia menerima banyak undangan untuk program TV di Beijing. Setakat ini ada lima jemputan dari program TV yang dihadirinya. Jadi pada malam itu, pihak stesen TV meminta untuk dia membuat semula rakaman untuk satu lagi lagu. Masa tu dah pukul 1.30 pagi dan penonton semua dah balik.

Bagaimanapun timbul masalah pakaian kerana baju yang dibawa telah digunakan pada persembahan lain. Pada jam 1.30 pagi, kami tak ada banyak masa untuk balik semula ke hotel yang memakan masa 1 jam perjalanan dan kami tak mahu membuat kru produksi menunggu. Jadi Shila terpaksa memakai baju yang ada dari koleksi produksi. Hanya kostum itu saja yang ada dan sesuai dengan konsep lagu dibawa Shila. Seluar memang ada warna itu saja. Jadi, salahkan saya bukan dia.

Dalam masa yang sama, ND Lala juga meminta agar Shila tidak dipandang sebagai ikon muslimah kerana bimbang anaknya tidak dapat menggalas tanggungjawab berat itu.

Press Conference Shila Amzah -Love In Concert--34

Di sini juga saya ingin menyatakan, lihatlah Shila sebagai ikon penyanyi dan bukan ikon muslimah. Untuk melabelkan dia sebagai ikon muslimah, banyak perkara berat yang dia tak boleh bawa nanti. Tapi saya tetap berharap dia boleh menjadi muslimah yang lebih baik satu hari nanti.

Mengenai kerjaya pula, Shila kini sedang sibuk mempersiapkan diri untuk mengadakan konsert sulungnya di Shanghai dan Kuala Lumpur pada pertengahan tahun ini.

Buat julung kalinya, Shila akan membuat persembahan terlebih dahulu di Shanghai pada 16 Ogos 2014, manakala konsert di Malaysia pula akan berlangsung pada 13 September 2014 di Mega Star Arena jam 8 malam.

Peminat di Malaysia bakal dihiburkan dengan 20 buah lagu bertemakan cinta dan Shila akan membawa seorang selebriti lelaki dari luar negara sebagai penyanyi jemputan namun masih belum diketahui siapa gerangannya.

SKIP THIS AD ×