
Hari Jumaat ialah penghulu segala hari dan penuh keberkatan bagi umat Islam. Ia membawa peluang besar untuk meraih pahala, memperbaharui jiwa, serta mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Amalan sunnah Jumaat
Rasulullah SAW turut menganjurkan beberapa sunnah mudah yang boleh diamalkan untuk menggandakan ganjaran.
Berikut adalah 10 amalan yang disarankan pada hari Jumaat, ringkas tetapi sangat bernilai:
1. Memperbanyakkan Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW
Salah satu sunnah yang sangat utama pada hari Jumaat ialah memperbanyakkan selawat. Nabi SAW bersabda:
Perbanyaklah selawat kepadaku pada hari Jumaat dan malam Jumaat.” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)’
Selawat bukan sahaja lambang cinta kita kepada Baginda, bahkan menjadi sebab doa diperkenankan dan syafaat diraih pada hari akhirat.
2. Mandi Sunat Sebelum Solat Jumaat
Mandi pada hari Jumaat merupakan sunnah penting sebagai persediaan diri untuk hadir ke masjid dengan lebih bersih dan segar. Sabda Rasulullah SAW:
Mandi pada hari Jumaat adalah wajib bagi setiap orang yang telah baligh.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Walaupun disebut sebagai wajib, ulama menyatakan ia bermaksud sangat dituntut khususnya bagi mereka yang ingin ke masjid.
3. Memakai Pakaian Terbaik & Berwangi-wangian
Hari Jumaat adalah hari istimewa, maka umat Islam dianjurkan berhias dan memakai bau-bauan ketika keluar solat Jumaat. Baginda SAW bersabda:
Barang siapa mandi pada hari Jumaat, memakai pakaian terbaik dan menggunakan minyak wangi, maka dia akan mendapat pahala yang besar.
Penampilan kemas mencerminkan adab dan rasa hormat kepada hari mulia ini.
4. Membaca Surah Al-Kahfi
Antara amalan paling terkenal pada hari Jumaat ialah membaca Surah Al-Kahfi. Ganjarannya sangat besar sebagaimana sabda Nabi SAW:
Barang siapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, maka akan terpancar cahaya untuknya di antara dua Jumaat.” (Hadis Riwayat Al-Hakim)
Surah ini menjadi pelindung daripada fitnah Dajjal dan membuka pintu ketenangan dalam hati.
5. Hadir Awal ke Masjid
Semakin awal melangkah ke masjid, semakin besar ganjarannya. Rasulullah SAW bersabda:
Barang siapa pergi ke masjid untuk solat Jumaat pada awal waktu, maka seolah-olah dia telah berkorban seekor unta.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Satu langkah awal di pagi Jumaat mampu menjadi bekalan pahala besar.
6. Diam & Fokus Ketika Khutbah
Ketika imam memulakan khutbah, diam dan beri perhatian sepenuhnya adalah adab yang wajib dijaga. Nabi SAW mengingatkan:
Barang siapa yang berbicara ketika imam sedang berkhutbah, maka dia telah melakukan perkara yang sia-sia.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Khutbah itu sendiri merupakan sebahagian daripada solat Jumaat.
7. Memperbanyakkan Doa
Jumaat adalah hari mustajab doa, terutama pada satu waktu rahsia yang penuh keberkatan. Sabda Baginda:
Di hari Jumaat terdapat suatu waktu di mana tidaklah seorang hamba Muslim memanjatkan doa memohon kebaikan kepada Allah bersamaan dengan waktu itu, melainkan Allah akan mengabulkan doanya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ramai ulama berpandangan ia berlaku antara Asar hingga Maghrib.
8. Banyakkan Zikir & Istighfar
Hari Jumaat wajar diisi dengan tasbih, tahmid, takbir serta istighfar. Ia melembutkan hati, menenangkan jiwa dan mendekatkan kita kepada Allah.
9. Memotong Kuku & Membersihkan Diri
Aktiviti asas penjagaan diri seperti memotong kuku, mencukur misai, membersihkan rambut dan tubuh turut menjadi sunnah yang disarankan khususnya pada hari Jumaat, persiapan fizikal dan rohani.
10. Menunaikan Solat Sunat Sebelum & Selepas Jumaat
Solat sunat sebelum dan selepas solat Jumaat termasuk dalam amalan rawatib yang melengkapkan ibadah fardu. Selepas selesai solat Jumaat, digalakkan menunaikan dua atau empat rakaat sama ada di masjid atau di rumah.
Mengamalkan sunnah-sunnah ini bukan sahaja membawa keberkatan, malah memperindah hubungan seorang hamba dengan Pencipta.
Semoga kita menjadi antara yang menghidupkan hari mulia ini dengan ibadah dan kecintaan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Sumber: Zayan