
Di sebalik watak Amma yang muncul dalam video Deepavali bersama Tengku Zafrul, rupanya tersimpan kisah perjalanan panjang seorang anak seni veteran masyarakat India di Malaysia.
Artikel Berkaitan: #OBPVO2.0: Pusingan Top 15 Bermula, 50 Undian Sehari Menanti Peminat
Kemunculan Eagaivalli
Figura yang dimaksudkan ialah Kalaimamani Eagaivalli, 88, yang cukup dikenali dalam industri seni Tamil tempatan dan pernah menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada Malaysian Indian Cine Awards 2019.
Kemunculan Eagaivalli dalam video berkenaan bukan sahaja mencuri perhatian, malah secara tidak langsung memperkenalkan semula sosok seni yang banyak menyumbang kepada perkembangan industri kreatif masyarakat India di negara ini.
Video yang mengetengahkan pertemuan dua individu daripada generasi dan latar belakang berbeza itu turut membawa mesej tentang kepelbagaian budaya, kepentingan menghargai warisan serta semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia sempena sambutan Deepavali.
Menjengah ruangan komen, rata-rata warganet terhibur menyaksikan video tersebut, malah ada yang tidak menyangka kemunculan Eagaivalli yang membawa watak Amma.
Tidak kurang juga yang terhibur melihat gelagat Tengku Zafrul selain memuji lakonannya yang turut mencuit hati. Video tersebut boleh ditonton di media sosial rasmi Tengku Zafrul.