Korang perasan tak, sesetengah perniagaan nampak murah rezeki sangat dan makin berkembang pesat dari semasa ke semasa? 

Bukan sekadar faktor strategi marketing yang mantap, kedai yang cantik atau servis yang best, tapi kunci utama keberkatan yang mungkin ramai terlepas pandang adalah menunaikan zakat perniagaan.

Baru-baru ini, satu majlis Hi-Tea telah diadakan oleh Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) bersama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah. Pertemuan itu mengumpulkan hampir 200 pembayar zakat, khususnya para usahawan muda yang menggerakkan ekonomi negeri Selangor.

Menerusi majlis tersebut, Zakat Selangor mensasarkan jumlah kutipan zakat perniagaan mencecah RM234 juta bagi tahun 2026, daripada keseluruhan sasaran yang berjumlah RM1.37 bilion.

Korang nak tahu apa lagi perkara best yang dikongsikan oleh CEO Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari?

Tunaikan zakat di lokasi perniagaan bertapak

Apabila sesebuah syarikat beroperasi dalam sesebuah negeri, secara automatik bisnes tersebut telah pun memanfaatkan ekosistem setempat, bermula daripada fasiliti yang disediakan, sumber tenaga kerja, sehinggalah kepada kelompok pelanggan di kawasan tersebut.

Oleh itu, adalah lebih saksama dan berimpak besar sekiranya manfaat daripada zakat yang dikeluarkan itu disalurkan kembali kepada komuniti setempat serta golongan asnaf di tempat korang ‘cari makan’.

Jika operasi perniagaan korang berpangkalan di Selangor dan menjana keuntungan di sini, pastikan korang melunaskan zakat perniagaan tersebut di Selangor juga tau! Barulah perjalanan bisnes korang lebih terjamin keberkatannya.

RM11.48 juta kutipan zakat daripada 44 syarikat

Pada majlis Hi-Tea berkenaan, sebanyak 44 buah syarikat tempatan menyerahkan zakat perniagaan mereka yang berjumlah RM11.48 juta secara keseluruhan di hadapan Raja Muda Selangor.  

Ini bukti jelas usahawan muda dan warga korporat kita bukan sahaja berdaya saing, tapi berjiwa besar dalam menunaikan tanggungjawab agama.  

Setiap ringgit zakat yang korang bayar sebenarnya membantu anak-anak asnaf meneruskan pendidikan, beli ubat-ubatan dan sediakan tempat tinggal yang selesa.  

Ada pulangan zakat menerusi konsep ‘Wakalah’

Pernah dengar pasal konsep Wakalah tak? Sebenarnya, melalui inisiatif ini, entiti korporat atau pembayar zakat berpeluang memohon semula sebahagian daripada jumlah zakat yang dilunaskan untuk diagihkan sendiri kepada golongan asnaf yang memerlukan. 

Sebagai contoh, syarikat gergasi seperti Worldwide Holdings Berhad telah menyalurkan dana wakalah sebanyak RM300,000, manakala Tenaga Nasional Berhad pula menyumbang RM100,000 kepada Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) demi memperkasa program komuniti belia serta golongan B40. 

Adanya sistem Wakalah ini membolehkan syarikat korang lebih aktif turun padang melaksanakan agenda CSR atau aktiviti kebajikan secara terus, namun tetap berlandaskan syarak dan dipantau rapi oleh pihak Zakat Selangor.

Jenama tempatan terima pengiktirafan IKTIRAF

Bukan itu sahaja, lima jenama kegemaran ramai iaitu D’Herbs Holdings, Bawal Sdn Bhd, Eskayvie, Wawa Global dan V’Asia Health & Beauty turut diberikan pengiktirafan Muzakki (IKTIRAF). Anugerah ini merupakan tanda penghargaan Zakat Selangor atas kesetiaan mereka melunaskan zakat perniagaan secara berterusan.

Sebenarnya, bila korang support dan berbelanja dengan syarikat yang komited berzakat, korang secara tak langsung telah menyumbang kepada ekosistem ekonomi yang mementingkan kebajikan. Bak kata orang tua-tua, semakin banyak kita berkongsi nikmat, semakin luas jalan rezeki yang bakal dibukakan untuk kita semua.

Jadi, buat korang yang sedang rancak membina empayar bisnes, pastikan cukup haul dan jangan culas tunaikan zakat perniagaan tau!