berita

6,872 Pelajar UIAM Kembali Ke Kampus Secara Berperingkat

October 17th, 2021 | by Shafika
Kini Trending

Semua sedia maklum, pengajian pelajar insitusi pengajian tinggi akan bermula tidak lama lagi. Ini selaras dengan pengumuman  Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang membenarkan pelajar kembali ke institut masing-masing secara berperingkat. 

Terbaharu, dianggarkan seramai 6,872 orang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari empat buah kampus iaitu di Gombak, Kuantan, Pagoh dan Kuala Lumpur mula mendaftar untuk kembali ke kampus- kampus UIAM sejak 15 Oktober lalu. 

Hanya lengkap 2 dos dibenarkan

Sepanjang tempoh pelajar pulang semula ke kampus secara berperingkat, seramai 4,133 pelajar akan kembali ke Gombak kampus, manakala seramai 1,810 pelajar untuk Kuantan kampus. Untuk pelajar yang akan kembali ke kampus Pagoh adalah seramai 909 orang pelajar dan Kampus Kuala Lumpur seramai 20 orang pelajar.

Bagi pelajar antarabangsa, setakat ini seramai 21 orang telah pun kembali ke kampus selepas selesai menjalani kuarantin wajib yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta lengkap dos vaksin di negara mereka.

Pelajar yang kembali ke kampus ini adalah mereka yang terdiri daripada pelajar yang mana pembelajaran mereka melibatkan aktiviti di dalam studio, makmal dan bengkel serta mereka yang berkeperluan khas seperti akses pembelajaran atas talian di rumah mereka sangat terhad.

UIAM bersedia menerima kehadiran para pelajar dengan mematuhi segala arahan dan Operasi Prosedur Standard (SOP) yang ditetapkan oleh KKM, MKN dan KPT sendiri. Malah pihak UIAM sendiri melalui Majlis Sejahtera akan memantau situasi di dalam kampus supaya dalam keadaan selamat dan sejahtera serta ibu bapa tidak perlu risau dan khuatir akan keselamatan anak-anak mereka.

Kolej kediaman disanitasi 

Sebagai langkah persediaan, setiap Mahallah (kolej kediaman) telah pun disanitasi malah setiap Mahallah juga sudah menyiapkan pelan perancangan yang teratur bagi memastikan pergerakan pelajar sentiasa dalam keadaan selamat. Ini termasuk juga, makmal-makmal, bengkel dan kelas-kelas juga dipastikan selamat dan mengikut segala pematuhan SOP yang ditetapkan.

UlAM juga menyediakan Blok Mahallah kuarantin sebagai persiapan dan langkah berjaga-jaga dalam memastikan suasana kampus kekal berada dalam zon hijaunya. Sebelum para pelajar pulang ke kampus, mereka haruslah melengkapkan dos vaksin dan melepasi tempoh keberkesanan selepas dos kedua vaksin, keadaan kesihatan pelajar hendaklah sihat tanpa sebarang gejala dan ujian saringan kendiri RTK antigen hendaklah negatif.

Terdahulu UIAM telah pun mengeluarkan garis panduan kepada semua pelajar untuk mereka membuat persediaan dan persiapan untuk kembali pulang ke kampus pada 15 Oktober.

Sementara itu sebanyak 27,044 kit ujian kendiri COVID-19 telah pun diterima dan di agihkan di setiap kampus-kampus UIAM. Untuk kampus Gombak termasuk kampus Kuala Lumpur sebanyak 17,187 kit diagihkan, kampus Kuantan sebanyak 4,483, kampus Gambang 3,954 dan lampus Pagoh sebanyak 1,420.

 

SKIP THIS AD ×