Mohd Khalid (tengah) menunjukkan sebahagian daripada barang rampasan pada sidang media mengenai Ops Cyber Guardian 2026 di Bukit Aman.. Kredit foto: Ahmad Ukasyah/Harian Metro

Bayangkan… dalam tempoh 2024 hingga 2026, sebanyak empat operasi domestik dan serantau berjaya membongkar rangkaian jenayah seksual kanak-kanak yang dipercayai bergerak secara aktif di ruang digital.

Hasil operasi tersebut, seramai 117 individu berjaya ditahan melibatkan 157 lokasi serbuan, selain rampasan lebih 246 peranti digital seperti telefon pintar, komputer dan storan elektronik.

Apa yang lebih mengejutkan, pihak berkuasa turut menemukan lebih 1,473,690 fail digital, termasuk bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).

Angka itu secara tidak langsung menggambarkan betapa serius dan besarnya ancaman eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian ketika ini.

Antara operasi yang menjadi perhatian ialah Op Cyber Guardian, yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama beberapa negara termasuk Singapura, Thailand, Brunei, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun, membuktikan bahawa isu ini bukan lagi jenayah tempatan, tetapi rangkaian global.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata operasi ini sebenarnya berlangsung lebih panjang iaitu dari 23 Mac hingga 17 April, dengan pelaksanaan serentak di Malaysia melibatkan lebih 100 individu yang disasarkan di seluruh 14 kontinjen polis.

Dalam Op Cyber Guardian sahaja, seramai 69 individu berusia antara 15 hingga 66 tahun berjaya ditahan, termasuk penjawat awam.

Kalau 117 berjaya ditangkap, berapa ramai lagi yang masih bebas?

Apa yang membuatkan kes ini lebih membimbangkan ialah jumlah tangkapan dan fail yang ditemui hanyalah daripada operasi yang berjaya dikesan pihak berkuasa.

Kalau dalam satu operasi sahaja sudah ada lebih 100 individu dalam radar siasatan, dan puluhan ribu fail berbahaya berjaya dirampas, kemungkinan masih wujud lebih ramai individu lain atau layak digelar pedofil yang belum dikenal pasti atau masih bergerak bebas di platform digital tanpa disedari.

Tidakkah ia memberi gambaran bahawa skala sebenar mungkin jauh lebih besar daripada yang kita sangka? Dan itulah yang mula menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

“PDRM kini sedang menyiasat sejauh mana individu dan kumpulan yang ditahan ini membentuk satu rangkaian sindiket yang terancang.

“Sebanyak 67 kertas siasatan dibuka di bawah pelbagai peruntukan termasuk Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” tambah Mohd Khalid.

Dengan kewujudan komuniti tertutup, aplikasi sembang sulit dan akses internet tanpa kawalan ketat, ramai melihat ruang digital kini bukan lagi tempat yang selamat sepenuhnya untuk kanak-kanak.

Kes seperti ini juga menjadi antara sebab mengapa semakin ramai mula menyuarakan keperluan untuk melaksanakan pengesahan umur (age verification) bagi penggunaan media sosial dan platform digital tertentu.

Bagi sesetengah pihak, langkah itu mungkin nampak terlalu ketat. Namun apabila melihat angka yang membimbangkan di atas, ramai berpendapat langkah pencegahan awal mungkin lebih penting sebelum keadaan menjadi lebih sukar dikawal.