
Sutradara telefilem Sujudku, Heykal Hanifah memberitahu naskhahnya itu bakal menjernihkan stigma segelintir masyarakat terhadap golongan tinggi agama yang dikatakan tidak mempunyai ujian hidup.
Artikel Berkaitan: TV AlHijrah Buka Lembaran Baharu, Hidupkan Al-Quran Dalam Televisyen
Artikel Berkaitan: Ramadan Mentadabbur Keindahan! TV AlHijrah Sajikan Lebih 22 Program, 141 Jam Alunan Al-Quran & Drama Imam Al-Syafie
Ujian golongan kuat agama

Mengisahkan perjuangan rohani seorang wanita mukminah dalam menghadapi trauma dan kehilangan, Heykal berkata, siapa pun makhluk di muka bumi ini tidak akan terlepas daripada dugaan yang menjadikan seorang itu kuat.
Stigma masyarakat masa kini apabila lihat golongan alim pasti akan kata mereka adalah orang yang baik-baik, malah ada membayangkan kelompok itu tidak ada ujian hidup.
Tetapi secara realitinya, kita tidak tahu apa ujian yang mereka lalui baik ujian luaran atau dalam jiwa. Walau seseorang itu dekat dengan Allah, tetapi akan diuji. Lumrah hidup manusia, tidak lari daripada diuji.
Jalan cerita telefilem ini menujukkan ujian yang dialami golongan Hafiz dan Hafizah, ini membuatkan orang biasa (tidak alim) akan lebih terbuka fikiran mereka.
Berkongsi lanjut, Heykal berkata, Sujudku bukan hanya naskhah seni, tetapi cerminan realiti sosial yang menyentuh isu keganasan rumah tangga, penyalahgunaan dadah serta kesihatan mental wanita.
Ungkapnya lagi, telefilem ini juga mengangkat pentingnya peranan sistem sokongan seperti keluarga, sahabat serta kebergantungan kepada Allah dalam menghadapi episod gelap kehidupan.
Sujudku adalah naskhah yang dekat dengan realiti masyarakat, khususnya wanita mukminah yang sering diuji dalam diam.
Kita mahu penonton melihat bahawa sujud bukan tanda kelemahan, tetapi penyembuhan dan kekuatan rohani.
Pengajaran kepada penonton

Sementara itu, Pengurus Kanan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar berkata, Sujudku merupakan sebuah naskhah yang sarat pengajaran dan didikan agama selari dengan konsep stesen TV AlHijrah.
Untuk tahun ini TV AlHijrah sudah memilih tujuh tajuk terbaik untuk ditayangkan di TV AlHijrah dan salah satu daripadanya adalah telefilem Sujudku.
Naskhah ini sangat selari dengan matlamat TV AlHijrah untuk menyampaikan ilmu dalam bentuk sebuah karya berbentuk telefilem.
Diterbitkan oleh Layar Consult Sdn Bhd, telefilem ini dibintangi barisan pelakon hebat seperti Nad Zainal (Fateha), Faezah Elai (Nurul Ain), Lisdawati (Rahila), Raja Atiq Azman (Hanzalah), Kodi Rasheed (Marwan) dan Adik Firman sebagai Nukman.
Sujudku menggunakan pendekatan penceritaan yang realistik, jujur dan meninggalkan kesan mendalam tentang bagaimana sujud menjadi bentuk tertinggi penyerahan seorang hamba.
Saksikan Sujudku pada Ahad, 6 Julai 2025, jam 9.00 malam hanya di TV AlHijrah.








