Pelakon senior, Hamidah Wahab telah mengambil keputusan untuk membuat laporan polis dan akan meneruskan tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya selepas dirinya difitnah sebagai ‘scammer’.

Artikel Berkaitan: ‘Tolonglah Hargai Kami’ – Hamidah Wahab Terkilan Ditawar RM150 Untuk Empat Hari Penggambaran

‘Saya akan buat saman malu dan saman fitnah’

Ketika ditemui OhBulan!, Hamidah, 68, berkata sepanjang hidupnya ini merupakan kali pertama dia berdepan tuduan serius seperti ini. 

Katanya, tuduhan tersebut bukan sahaja menjejaskan dirinya secara peribadi malah turut memberi kesan kepada keluarganya.

Sebenarnya saya buat polis laporan ni, sebab nak bersihkan nama saya sebagai seorang pelakon.

Saya nak membetulkan, nak membersihkan nama saya yang orang telah menuduh saya sebagai seorang scammer.’

Saya takkan berdiam diri sebab saya akan buat saman malu dan juga saman fitnah.

Tambah pelakon Tanah Kubur ini lagi, selain dirinya, ahli keluarga yang lain termasuk adik, Juriah Ab Hamid serta anak-anak saudaranya, Muhammad Afique Ab Mahat dan Dr Diyana Mahat turut menjadi mangsa tuduhan sama apabila mereka juga dilabel sebagai ‘scammer’ oleh individu tersebut.

Namun begitu, Hamidah menolak sekeras-kerasnya dakwaan bahawa mereka sekeluarga terlibat dalam sebarang penipuan atau kegiatan tidak bermoral.

Jangan diingat artis ni tidak ada undang-undang. Dan jangan diingat, pihak polis tidak akan ambil tindakan.

Di negara Malaysia yang penuh dengan undang-undang, setiap orang membuat kesalahan akan ditangkap, akan disumbatkan kat dalam tu kalau dia tidak ada bukti yang kukuh.

Hamidah berkata demikian ketika ditemui di Sidang Media ‘Saya Bukan Scammer’ di Kuala Lumpur pada Rabu.

‘Dia memang nak menjatuhkan kami sekeluarga’

Ditanya mengenai punca tuduhan itu, Hamidah percaya bahawa ianya berpunca daripada perasaan cemburu dan niat jahat individu terbabit untuk menjatuhkan nama baik keluarganya. 

Tapi pada saya, tujuan dia tu, memang nak menjatuhkan kami sekeluarga.

Senang cerita, perasaan cemburu tu ada, dengki khianat tu ada, pandang kami semua berjaya. Jadi hati tu memang tak tenteram.

Kami tidak ada salah apa-apa dan kami tidak pernah ambil duit dia, kami tidak pernah buat sesuatu perkara yang memudaratkan mereka. Kenapa dia nak aibkan kami? Kenapa dia nak menjatuhkan keluarga kami? Untuk apa?

Tambahnya lagi, sehingga kini, sudah sepuluh laporan polis dibuat berkaitan kes yang menimpa keluarganya, dan pihak berkuasa telah pun mengambil tindakan terhadap individu terlibat beberapa kali. 

Namun, perkara tersebut masih berlarutan, dan kini dirinya pula menjadi sasaran.

Selagi, kalau dia datang minta maaf dengan saya, itu saya kemudian saya bercerita. Saya nak dia bersihkan nama saya. Saya nak dia menyatakan apa yang dilakukan ini adalah satu fitnah dan satu pembohongan pada keluarga kami.’

Saya nak dia mengaku yang dia tu adalah kambing hitam ataupun dia tu memang betul scammer yang menuduh kami.

Hamidah turut mengakui sudah lama bersabar, namun kali ini terpanggil untuk bertindak demi mempertahankan maruah dan rezekinya sebagai seorang pelakon.

Terdahulu, seorang individu yang dikenali dengan nama Zahid didakwa menyebarkan fitnah serta menuduh Hamidah sekeluarga sebagai ‘scammer’. Lelaki itu mendakwa Hamidah menipu dan mengambil wang berjumlah RM100,000 daripadanya.

Individu tersebut turut mendedahkan beberapa foto dan maklumat peribadi ahli keluarga Hamidah termasuk nombor kad pengenalan, alamat rumah dan sebagainya. Difahamkan, Zahid merupakan kenalan kepada anak saudara Hamidah, iaitu Afique.

Video

@ohbulanofficial

Hamidah Wahab telah mengambil keputusan untuk membuat laporan polis dan akan meneruskan tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya selepas dirinya difitnah sebagai ‘scammer’. #ohbulan #fyp #news #hamidahwahab #laporan #polis #scam

♬ original sound – OHBULAN! – OHBULAN!