Meskipun mengandungi adegan intim, pengarah merangkap penerbit filem Killmaster, Julian Cheah menegaskan karya terbaharunya itu telah diluluskan sepenuhnya oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) tanpa sebarang pemotongan.

Artikel Berkaitan: Filem ‘La Luna’ Berunsur Liberal? Shaheizy Sam Dah Minta Pandangan Ustaz Di Makkah – ‘Saya Tidak Ketepikan Agama’

Lepas LPF 100%

Julian yang turut memainkan peranan utama dalam filem berkenaan berkata, Killmaster juga telah diklasifikasikan sebagai P16 iaitu had umur 16 tahun ke atas.

Filem ini telah diluluskan oleh LPF dan paling penting 100 peratus lulus tanpa sebarang potongan. Meskipun ada adegan intim dalam filem ini, namun pihak LPF telah periksa.

Malah ingin saya maklumkan juga, LPF telah klasifikasikan filem ini P16 (had umur) untuk ditonton.

Julian berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana Killmaster yang berlangsung di TGV Suria KLCC, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Julian memberitahu, Killmaster bukan sekadar mengisahkan dunia seorang perisik, sebaliknya turut menampilkan elemen glamor dan keindahan sinema.

Killmaster bukan sekadar sebuah filem perisik, ia adalah sebuah perayaan keindahan dan glamor dalam sinema.

Ingin mencipta alternatif kepada filem yang terlalu keras dan penuh keganasan pada masa kini, dengan mengembalikan keajaiban, gaya, dan kehalusan yang pernah digemari penonton pada dekad terdahulu.

Shooting di Sepanyol

Selain menjalani penggambaran di Malaysia, Killmaster turut memilih sebuah pulau eksotik di Ibiza, Sepanyol sebagai lokasi utama.

Filem ini mengisahkan perjalanan mendebarkan seorang ejen rahsia Asia, Alex Wong yang menggunakan nama kod Killmaster, terkenal dengan ketepatannya menyingkirkan ancaman global.

Misi terbaharunya membawa Alex dari Asia ke Eropah, sebelum berakhir dengan pertembungan bersama pemimpin berkuasa di Sepanyol.

Diinspirasikan daripada era keemasan sinema, Killmaster cuba mengembalikan tarikan filem James Bond era Roger Moore, selain menampilkan keanggunan klasik seumpama To Catch a Thief.

Selain Julian, Killmaster turut menampilkan pelakon Monica de Caro, dengan keserasian mereka di layar perak membangkitkan nostalgia kehalusan era lampau.

Menambah lagi pesona sinematik, skor muzik Killmaster memberi penghormatan kepada legenda John Barry, komposer yang mendefinisikan identiti filem Bond pada era 1960-an dan 1970-an.