
Gerakan Pekan Molek, yang diasaskan oleh selebriti Karl Shafek Ibrahim bersama pengasas jenama fesyen jalanan Neonate Clothing Company, berjaya mengutip hampir dua tan sampah dalam program komuniti pertama mereka, Gotong-Royong Sakan.
Artikel Berkaitan: Molek FM Dah Sampai Kuantan! Jejak ‘Lelaki Misteri’ Untuk Menangi Wang Tunai Sehingga RM10,000
Artikel Berkaitan: Sempena Aidilfitri, Hot FM & Molek FM Hasilkan 3 Lagu Raya Nyanyian Barisan DJ & Penyanyi Terkenal, Memang Gempak!
Gotong-royong

Acara pembersihan besar-besaran di Pantai Tanjung Gosong, Pekan itu mengajak belia dan penduduk tempatan bertujuan menjaga kebersihan serta alam sekitar.
Difahamkan, Karl Shafek berjaya menarik lebih 300 sukarelawan bagi menyertai program Gotong-Royong Sakan.
Menurut Karl, inisiatif ini bermula apabila dia melihat keadaan Pantai Tanjung Gosong yang cantik namun tidak terjaga.
Ujarnya lanjut, dia menggunakan kuasa media sosial untuk bersama-sama membaik pulih keadaan pantai tersebut.
Saya kerap berada di Pekan sejak Aidilfitri lalu kerana menjaga ayah yang uzur. Apabila melihat keadaan Pantai Tanjung Gosong yang cantik tetapi tercemar dengan sampah, saya terpanggil untuk bertindak.
Saya gunakan media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram untuk menyeru sesiapa yang ada kesedaran agar bersama-sama membersihkan pantai ini. Tak sangka, sambutan yang diterima begitu menggalakkan.
Acara yang diadakan pada Selasa, 16 September lalu dari 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu turut mendapat sokongan Majlis Perbandaran Pekan Bandar Diraja serta ADUN Peramu Jaya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, YB Datuk Mohamad Nizar Datuk Seri Mohamad Najib.
Selain itu, penganjuran Gotong Royong Sakan ini turut mendapat kerjasama Kelab Anak Muda Perbandaran Pekan dan KRT Pantai Tanjung Gosong.
Acara ini bukan saja mengeratkan hubungan antara belia dan sukarelawan dari dalam serta luar Pekan, malah turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu khas seperti Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pekan, Mohd Nasir Jusoh, artis popular Nurkhiriah dan Ieda Moin, serta wakil media.
Peserta juga berpeluang membawa pulang hadiah tajaan pasar raya Pantai Selamat dan Fresh Choice.








