Penyanyi Linda Rafar memberi penjelasan berhubung kritikan warganet berkenaan penampilannya di konsert Elite Live ’25 In Kuala Lumpur pada Sabtu.

Artikel Berkaitan: Linda Rafar Dakwa Filem ‘Janna Endoro’ Kena Sabotaj – ‘Ramai Tak Tahu Dah 5 Hari Di Pawagam’

Artikel Berkaitan: Elite Kembali Dengan Konsert Sulung, Rai 30 Tahun Dalam Industri Muzik

Penjelasan Linda

Ketika dihubungi OhBulan!, Linda atau nama lengkapnya Azlinda Abdul Rafar, 47, memaklumkan perbincangan telah dilakukan terlebih dahulu bersama perunding imej bagi konsert tersebut dan mencuba untuk mendapatkan pakaian yang sesuai.

Untuk konsert kali ini kami sudah melakukan perbincangan dan berusaha untuk mendapatkan baju yang menutup aurat.

Sebenarnya pada awalnya kami menjangkakan baju inner berwarna hitam itu tidak akan nampak pergerakan badan sebab itu kami pilih hitam.

Sepatutnya baju itu berwarna emas tapi kami tak sangka pula pakai warna hitam pun masih jelas pergerakan tubuh. Itu mungkin salah satu kesilapan kami.

Mungkin tarian dan juga pencahayaan di tempat itu juga turut menjadi faktor.

Saya dan team telah cuba sedaya upaya untuk tak nak nampak keterlaluan malah kami pun tak mahu perkara sebegini berlaku tapi ia pun sudah terjadi.

Menurut Linda, penurunan berat badan juga menjadi sebab pergerakan koreografinya kelihatan lebih lincah berbanding anggota Elite yang lain.

Saya turun berat badan kerana diet, jadi mungkin kerana itu pergerakan saya lebih jelas kelihatan.

Pergerakan kami semua nampak lain kerana masing-masing mempunyai bentuk badan dan pakaian yang berbeza.

Bukan kerana saya over, tapi bentuk badan dan pakaian saya tak sama dengan yang lain.

Lebih berhati-hati

Mengambil iktibar dari isu tersebut, pelantun lagu Tamparan Wanita itu memaklumkan dia akan lebih berhati-hati dalam memilih imej yang sesuai selepas ini iaitu dengan meminta pandangan ahli keluarga.

Hikmahnya, selepas ini saya kena berhati-hati dan banyak kali kena check semula pakaian sebelum persembahan.

Selepas ini, saya perlu melibatkan keluarga dan minta pandangan mereka sebelum memilih pakaian untuk membuat persembahan.

Kalau saya di luar pun, saya tak pernah pakai pakaian menjolok mata dan itulah diri saya yang sebenar.

Walaupun sudah berusaha untuk menjadi lebih baik, namun seperti manusia lain, Linda tetap terkesan dengan segala tomahan yang dilemparkan.

Sejujurnya saya sedih baca semua kecaman sebab mereka tidak tahu usaha kami yang sebolehnya tak mahu perkara ini berlaku.

Macam mana pun, kita tak boleh nak tutup mulut orang.

Terdahulu, Linda menerima pelbagai kecaman daripada warganet yang mendakwa pemakaiannya pada malam konsert tersebut tidak melambangkan imej wanita berhijab.