Gabenor Baitul Maqdis memberi amaran sebahagian struktur Masjid al-Aqsa berisiko runtuh susulan kerja penggalian berterusan yang dijalankan oleh rejim Israel di sekitar serta di bawah kawasan masjid dan Kota Lama Baitul Maqdis.

Artikel Berkaitan: Cinta Gaza Malaysia Terima Sumbangan RM290,000 Daripada Usahawan & Individu Ternama – ‘Tanpa Mengira Bangsa Atau Agama

Berisiko runtuh?

Sumber foto: zamzam.com

Penasihat kepada Gabenor, Marouf al-Rifai berkata, aktiviti penggalian itu melibatkan pembinaan serta peluasan terowong lama dan baharu yang menghubungkan beberapa kawasan penempatan haram Israel.

Hal ini merupakan sebahagian daripada rancangan sistematik rejim Zionis untuk mengubah identiti sejarah dan keislaman kota suci tersebut.

Menurut al-Rifai, terowong-terowong itu disambungkan ke kawasan yang dinamakan oleh rejim Israel sebagai ‘Bandar Daud’ melalui laluan batu purba yang pada asalnya berfungsi sebagai saluran air.

Namun kini, saluran tersebut telah dikeringkan dan diubah menjadi terowong, muzium serta rumah ibadat Yahudi.

Salah satu kawasan berkenaan yang dikenali sebagai Pasar Jabbana telah ditukar menjadi laluan pelancongan Yahudi sekali gus perubahan itu mengancam kestabilan struktur di bawah Masjid al-Aqsa.

Al-Rifai turut menegaskan penggalian tanpa kawalan itu berpotensi menyebabkan kerosakan besar terhadap peninggalan bersejarah Palestin termasuk rumah, sekolah lama serta tanah di sekitar masjid suci tersebut.

Al-Rifai mendakwa kerja-kerja penggalian dijalankan tanpa sebarang kaedah saintifik yang diiktiraf dan secara jelas melanggar status quo.

Tindakan itu membuktikan motif politik rejim Israel yang mahu memperkukuh cengkaman terhadap kawasan suci umat Islam dan Kristian di Baitul Maqdis.

Dalam masa sama, Al-Rifai juga mendakwa aktiviti penggalian dilakukan secara rahsia tanpa sebarang pemantauan antarabangsa sekali gus menjejaskan kestabilan Masjid al-Aqsa serta mengancam warisan sejarah umat Islam di situ.

Al-Rifai menegaskan, tindakan rejim Israel ini merupakan sebahagian daripada agenda lebih besar bagi menukar ciri sejarah, budaya dan agama Kota Lama Baitul Maqdis serta menafikan identiti Palestin di bumi suci tersebut.

Sumber: TikTok