Setelah 14 tahun bersama, pelakon, Rebecca Nur Al Islam tidak menyangka rumah tangganya bersama bekas suaminya, Datuk Nur Azman Sulaiman berakhir dengan perpisahan pada awal Mei lalu.

Artikel Berkaitan: ‘Bagi Saya Ruang, Terus Doakan’ – Rebecca Nur Al Islam Belum Sedia Ulas Dakwaan Sudah Bercerai

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Rebecca Nur Al Islam Kongsi Gambar Kerana Terlalu Bangga Bonda Rozita Jadi Kakak Ipar

Jaga aib

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Rebecca Nur Al-Islam Ahmad, 39, bagaimanapun enggan mengulas tentang sebab penceraian mereka dan memilih untuk menjaga aib bersama.

Sejujurnya saya pun terkejut dan tidak sangka perkahwinan yang dibina akhirnya sampai sini saja.

Mungkin tiada jodoh antara kami.

Tidak perlu (kongsi punca bercerai) sebab akan mengaibkan kedua-dua belah pihak. Rasanya apa yang boleh ditutup untuk simpan aib sendiri dan bekas suami, kita tutuplah.

Bagi saya, hidup ini terlalu singkat. Saya ikut saja apa yang sudah tertulis oleh Allah SWT. Saya terima ketentuan ini walaupun saya sendiri tidak sangka.

Rebecca berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaharu jenama Amber iaitu Oasis 2.0 – Mirage: A Secret by The Desert di butik Amber Flagship, Shangri-La, Kuala Lumpur pada Khamis.

Ketika ditanya sama ada perpisahan itu disebabkan oleh orang ketiga, Rebecca bagaimanapun memilih untuk tidak menjawab soalan demikian.

‘Down’

Mengakui situasi yang dihadapinya memberi tekanan, pelakon drama Dejavu Di Kinabalu itu berkata dia kini dalam usaha untuk memulihkan semangat dirinya sedikit demi sedikit.

Sejujurnya saya tengah ‘down’. Saya pun baru keluar (jumpa orang). Saya banyak mendekatkan diri kepada dunia yang kekal selamanya, tapi bila fikir semula saya ini dah nak mati ke?

Jadi saya fikir kenapa tidak saya keluar jumpa orang. Hari ini (semalam) adalah hari kedua saya betul-betul keluar.

Hari pertama saya menghadiri majlis resepsi Fattah Amin dan Amira Othman.

Sebenarnya saya bukan takut nak berdepan dengan orang, tapi saya macam tidak tahu kenapa.

Namun saya sedar saya kena bangkit dan cari semangat semula untuk teruskan kehidupan serta mencari rezeki demi tujuh orang anak saya.

Terdahulu, hantaran di Instagram Rebecca menimbulkan seribu persoalan apabila dia memuat naik gambar suaminya dengan kapsyen seakan memberi bayangan mengatakan mereka sudah bercerai.

Aktres itu juga mengucapkan terima kasih kepada suaminya di atas jasa yang telah ditaburkan selama 14 tahun mereka mendirikan rumah tangga.

Imbas kembali, Rebecca dan Azman mendirikan rumah tangga pada 14 Januari 2011.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan enam cahaya mata dan membesarkan seorang anak angkat.