Legenda soft rock dari Denmark, Michael Learns To Rock (MLTR) kembali menghangatkan pentas Malaysia menerusi konsert “Take Us To Your Heart” Tour in Malaysia yang berlangsung di Arena of Stars, Resorts World Genting pada Ahad, 10 November.

Artikel Berkaitan: Michael Learns To Rock Kembali Ke Malaysia Bersempena Konsert ‘Take Us To Your Heart’ Tour

4,000 peminat hadir

Dibawakan oleh MMIC Entertainment Group dengan kerjasama JS Concert Productions, konsert tersebut berjaya mengumpulkan kira-kira 4,000 peminat yang hadir untuk merasai sendiri magis lagu-lagu cinta abadi kumpulan itu.

Sejak nota pertama lagu pembukaan Someday dimainkan, seluruh dewan sudah mula bergema dengan nyanyian penonton yang jelas masih mengingati setiap bait lirik.

Suasana nostalgia kemudian diteruskan dengan Sleeping Child, Complicated Heart, I Still Carry On, Blue Night dan It’s Gonna Make Sense yang membuat ramai seakan kembali ke zaman remaja, ke era di mana MLTR menjadi soundtrack cinta pertama, perpisahan dan kenangan yang tidak pernah hilang.

Konsert turut diserikan dengan segmen akustik, apabila MLTR mempersembahkan I’m Gonna Be Around, Out Of The Blue dan Nothing To Lose dalam suasana lebih intim.

Semuanya kedengaran sederhana, jujur dan dekat dengan jiwa, seolah-olah muzik itu kembali ke bentuk asalnya hanya melodi, suara dan rasa.

Sokongan daripada penonton terus memuncak apabila lagu-lagu ikonik seperti 25 Minutes, The Actor, Love Will Never Lie, Breaking My Heart, Wild Woman, You Took My Heart Away, Paint My Love dan Take Me To Your Heart didendangkan satu demi satu, membuatkan konsert itu bertukar menjadi sebuah sesi karaoke besar yang penuh emosional.

Tiga dekad

Michael Learns To Rock yang ditubuhkan sejak 1988 di Aarhus, Denmark telah melalui lebih tiga dekad perjalanan seni tanpa kontroversi, namun tetap kekal relevan dan dihormati di seluruh dunia.

Dengan sembilan album studio, jualan berjuta unit serta lebih 800 persembahan global, mereka kekal menjadi antara kumpulan antarabangsa yang paling dekat dengan hati peminat di Asia.

Walaupun kini anggota kumpulan berada dalam lingkungan usia 50-an dan 60-an, vokal, tenaga dan disiplin mereka di atas pentas membuktikan muzik yang lahir dari kejujuran dan kesungguhan memang tidak pernah lapuk ditelan masa.

Menutup konsert dengan lagu That’s Why, MLTR mengucapkan terima kasih kepada peminat Malaysia yang menurut mereka, sentiasa menerima mereka dengan penuh kasih sejak hari pertama.

Penonton yang beredar dari Arena of Stars malam itu membawa pulang bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi satu perjalanan semula ke masa lalu yang mengingatkan mereka tentang cinta dan memori.