Nama Diva M mungkin lebih sinonim dengan kontroversi dan kenyataan yang mencuri perhatian. Namun, di sebalik persona itu, usahawan dan pempengaruh ini mempunyai sisi lain yang jarang dikongsikan.

Bagi Diva M atau nama sebenarnya Mohd Muzakir, berkongsi rezeki terutama pada hari Jumaat sudah menjadi antara rutin yang cuba dilakukannya apabila berkesempatan.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Diva M Syukur Tak Buang Alat Kelamin, Kembali Ke Fitrah Selepas 15 Tahun Pakai Implan Payudara

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Tutup Salun Demi 40 Warga Emas, Diva M Anggap Amal Saham Akhirat

Diva M makan tengah hari bersama

Terbaharu, Diva M bersama beberapa kakitangan Diva Hair Salon meluangkan masa bersama 112 penghuni Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras sempena cuti persekolahan.

Bukan sekadar datang menyerahkan sumbangan, Diva M turut membawa hidangan makan tengah hari dan pencuci mulut untuk dinikmati bersama penghuni rumah kebajikan berkenaan.

Lebih menyentuh hati, dia sendiri memilih untuk duduk semeja, makan bersama dan meluangkan masa beramah mesra dengan anak-anak di situ.

Bagi Diva M, berkongsi rezeki tidak semestinya perlu menunggu sehingga mempunyai lebihan yang banyak.

Kalau ada kesempatan dan rezeki, memang saya cuba jadikan hari Jumaat sebagai hari untuk berkongsi dengan orang lain.

Sebelum ini kami pernah ke masjid dan rumah warga emas. Kali ini kebetulan dalam musim cuti sekolah, jadi kami memilih untuk datang bertemu dan makan tengah hari bersama anak-anak di sini.

Bagi saya, tak semestinya kita perlu tunggu ada banyak baru hendak memberi. Apa yang kita ada dan mampu, kita kongsikan.

Tawar gunting rambut percuma

Kunjungan Diva M bukan sekadar makan tengah hari bersama 112 penghuni Rumah Kasih Harmoni.

Pengusaha Diva Hair Salon itu turut menawarkan khidmat gunting rambut percuma kepada semua penghuni berkenaan, dan mereka boleh mendapatkannya pada bila-bila masa.

Saya beritahu pihak rumah, kalau anak-anak di sini perlukan khidmat gunting rambut, mereka boleh datang ke salun.

Ini bukan untuk sekali sahaja. Selagi kami masih beroperasi dan mampu memberikan perkhidmatan itu, kami akan buat secara percuma. Saya mahu mereka tahu pintu salun kami sentiasa terbuka untuk mereka.

Tawaran tersebut turut mendapat penghargaan Pengetua Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Jamaluddin Wahab yang menyifatkan kunjungan Diva M dan pasukannya sebagai sesuatu yang cukup bermakna buat penghuni di situ.

Menurutnya, selain dapat menikmati hidangan bersama, tawaran khidmat gunting rambut secara percuma itu juga sedikit sebanyak dapat membantu memenuhi keperluan anak-anak di bawah jagaan mereka.

Untuk rekod, Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras yang ditubuhkan pada 2007 menempatkan anak yatim, yatim piatu serta golongan asnaf.

Ketika ini, rumah kebajikan tersebut dihuni seramai 112 individu berusia antara satu hingga 17 tahun, terdiri daripada 61 lelaki dan 51 perempuan.

Kunjungan Diva M bersama pasukannya diakhiri dengan sesi ramah mesra dan fotografi sebelum mereka bersama-sama beredar bagi menunaikan solat Jumaat.

Malah, aktiviti kebajikan seperti itu bukanlah kali pertama dilakukan Diva M bersama pasukan Diva Hair Salon.

Sebelum ini, mereka turut mengunjungi Rumah Seri Kenangan Cheras dan menyediakan perkhidmatan gunting rambut secara percuma kepada warga emas.