Gua sha merupakan teknik urutan wajah yang semakin popular, digunakan untuk melancarkan peredaran darah, mengurangkan bengkak dan membantu kulit kelihatan lebih tegang serta segar.

Artikel Berkaitan: Bawang Putih Disifatkan Penawar Semula Jadi, Beri Manfaat Kepada Kesihatan Sejak Dari Dahulu

Artikel Berkaitan: Petai Lebih Dari Sekadar Rasa Unik, Dipercayai Bantu Tingkatkan Mood Positif & Stabilkan Tekanan Darah

Kulit lebih segar

Walaupun kini menjadi trend moden, gua sha sebenarnya berasal daripada perubatan tradisional Cina yang dahulunya digunakan sebagai teknik urutan bagi melegakan ketegangan tubuh dan membantu aliran darah.

Apabila digunakan dalam kecantikan, alat ini memberi kesan positif pada kulit melalui gerakan sapuan lembut yang membantu mempercepatkan peredaran pada kapilari halus di wajah seterusnya menyegarkan kembali kulit.

Laporan China Health News menyatakan bahawa kaedah ini memberi hasil yang lebih menonjol dalam kalangan wanita, kerana keseimbangan hormon mereka menjadikan kulit lebih responsif terhadap rangsangan luaran.

Dengan penggunaan berkala, gua sha dapat membantu menyerlahkan keremajaan kulit, membuatkan wajah tampak lebih berseri, merawat tekstur kulit sekaligus mengurangkan kedutan halus.

Walaupun tiada bukti saintifik yang mengesahkan gua sha mampu menghilangkan garis halus atau sembap bawah mata secara menyeluruh, namun ramai pengguna mengalami perubahan positif selepas urutan selama 20–25 minit.

Dalam perubatan tradisional Cina, teknik ini dipercayai merangsang aliran limfa bagi membantu penyingkiran toksin serta menguatkan imuniti.

Diamalkan secara berjadual, ia turut berpotensi mengurangkan bengkak, melegakan kekejangan otot malah digunakan sebagai sokongan pemulihan bagi pesakit tertentu termasuk mereka yang melalui rawatan kanser payudara.

Redakan migrain

Selain membantu peredaran darah pada wajah, gua sha juga berpotensi melegakan migrain dan sakit kepala tegang, khususnya bagi mereka yang mengalami kekejangan otot pada bahagian leher dan bahu.

Laporan perubatan Cina pada 2007 pernah merekodkan kes seorang wanita berusia 72 tahun yang menunjukkan pengurangan simptom migrain selepas dua minggu rawatan berkala.

Walaupun bukti saintifiknya masih terhad, hasil tersebut memberi gambaran bahawa gua sha mungkin bermanfaat sebagai sokongan alternatif untuk mengurangkan ketidakselesaan otot.

Kajian lain pada 2014 yang melibatkan 60 pengguna komputer turut mendapati terapi ini dapat mengurangkan sakit leher dan bahu, di samping meningkatkan kelenturan serta pergerakan sendi.

Secara tidak langsung, ia membuktikan bahawa gua sha bukan sahaja dikaitkan dengan rutin kecantikan, tetapi juga berpotensi menyokong kesihatan fizikal harian terutamanya bagi individu yang banyak bekerja dalam posisi statik atau menghadap komputer dalam jangka masa panjang.

Sumber: Rapi