
Intermittent fasting (IF) merupakan salah satu kaedah diet yang semakin popular kerana konsepnya lebih fleksibel berbanding diet-diet yang lain.
Artikel Berkaitan: Senggugut & Sakit Belakang Jejas Aktiviti Harian, Amalkan Tips Kesihatan Ini Ketika Haid
Artikel Berkaitan: Public Health Malaysia Kongsi Individu Berisiko ‘Microsleep’ – ‘Cukupkan Tidur Jangan Paksa Diri’
Diet ikut kemampuan diri

Berbeza dengan diet keto atau diet rendah karbohidrat yang menekankan perubahan jenis makanan dan pengurangan makronutrien tertentu. IF pula memberi tumpuan pada aturan masa makan sahaja.
Dalam diet IF, seseorang hanya perlu makan dalam tempoh antara 4 hingga 16 jam sehari, manakala selebihnya adalah tempoh berpuasa yang boleh disesuaikan mengikut kemampuan individu tersebut.
Rutin harian dalam IF dibahagikan kepada dua bahagian utama, iaitu waktu makan dan waktu berpuasa. Walaupun tiada senarai makanan khusus yang diwajibkan, pemilihan hidangan berkhasiat dan seimbang sangat digalakkan bagi memastikan tubuh menerima nutrisi yang mencukupi.
Selain itu, IF akan memberi hasil yang lebih baik jika digabungkan dengan gaya hidup aktif seperti bersenam atau apa sahaja aktiviti fizikal ringan yang dapat membantu tubuh kekal bertenaga dan sihat.
Lebih menarik lagi, semasa melalui fasa berpuasa dalam IF, waktu tidur turut dikira sebagai sebahagian daripada tempoh tidak mengambil makanan, menjadikan keseluruhan jam puasa lebih mudah dicapai.
Dalam tempoh ini, anda hanya dibenarkan mengambil minuman tanpa kalori seperti air kosong, teh tanpa gula, atau kopi tanpa sebarang campuran.
Terdapat juga kaedah IF tertentu yang menetapkan had kalori khusus sepanjang tempoh ini. Walaupun sedang berpuasa, anda tetap digalakkan untuk meneruskan rutin harian seperti biasa kerana ianya tidak menghalang aktiviti fizikal ringan.
Selepas selesai tempoh berpuasa, anda disarankan untuk mengambil makanan dalam 2 hingga 3 sesi sepanjang waktu makan yang dibenarkan, sama ada 4 jam, 8 jam atau 16 jam bergantung pada jenis IF yang diamalkan.
Pada masa yang sama, elakkan daripada mengambil makanan yang tinggi kandungan gula, garam, minyak, lemak serta makanan berproses agar tubuh kekal bertenaga dan tidak terbeban.
Kaedah diet

Intermittent Fasting mempunyai pelbagai gaya amalannya, dan setiap satu menawarkan tahap kekangan masa yang berbeza.
Salah satu bentuk IF yang paling mudah ialah berpuasa semalaman, di mana seseorang itu perlu berhenti makan selama 12 jam, biasanya dari waktu malam hingga ke pagi.
Terdapat juga kaedah puasa yang berasaskan masa, di mana tempoh berpuasa dilanjutkan kepada 14 hingga 16 jam sehari. Cara ini menyerupai seakan-akan rutin puasa semasa bulan Ramadan.
Bagi mereka yang ingin mencuba cabaran lebih besar, terdapat kaedah puasa penuh selama 24 jam, iaitu OMAD atau Warrior Diet, di mana seseorang itu hanya dibenarkan mengambil makanan sekali sahaja dalam sehari.
Sebaliknya, terdapat juga kaedah puasa selang sehari, iaitu pola berpuasa dan makan secara bergilir antara satu hari dengan hari berikutnya. Pada hari berpuasa, pengambilan makanan biasanya dihadkan kepada sekitar 500 hingga 600 kalori sahaja.
IF turut merangkumi kaedah 5:2, iaitu berpuasa dua hari seminggu dan makan seperti biasa pada lima hari berikutnya. Pada hari berpuasa, had kalori hampir sama seperti kaedah puasa selang sehari, iaitu sekitar 500 hingga 600 kalori sahaja.
Bagi pendekatan yang lebih mudah, seseorang itu boleh menjalani diet dengan tidak bersarapan dan terus makan pada waktu tengah hari.
Kaedah ini hanya berkesan jika waktu makan yang ditinggalkan tidak diganti dengan pengambilan makanan berlebihan.
Akhir sekali, terdapat juga gaya puasa pilihan sendiri, iaitu seseorang bebas memilih hari mana yang mahu dijadikan hari berpuasa tanpa sebarang aturan ketat, asalkan masih mengikuti prinsip asas IF.
Cara ini paling fleksibel dan sering menjadi pilihan bagi mereka yang baru ingin memulakan diet, kerana ia mudah disesuaikan dengan jadual harian.
Sumber: Doctor On Call






![[VIDEO] Dr Hasseenah Dedah Rawatan Kecantikan Wajah Tular Didakwa Haram & Bernajis](https://asset.ohbulan.com/2026/07/doktor.jpg)

