
Senggugut, atau dalam istilah perubatan dikenali sebagai ‘dysmenorrhea’, merupakan situasi yang dialami oleh ramai wanita setiap kali haid.
Artikel Berkaitan: Prinsip Halalan Toyyiban Dalam Pemilihan Makanan, Bukan Sekadar Pada Logo
Artikel Berkaiatan: Public Health Malaysia Kongsi Kalori & Gula Top 5 Makanan Viral – ‘Tak Hairan Angka Obesiti Makin Naik’
Perubahan hormon

Kesakitan ini biasanya dirasai di bahagian bawah perut dan boleh disertai dengan rasa tidak selesa di pinggang, loya, atau keletihan yang melampau.
Walaupun ia merupakan perkara yang sering terjadi dalam kalangan wanita, namun senggugut yang teruk boleh menjejaskan aktiviti harian, kualiti tidur dan menyebabkan emosi seseorang terganggu.
Senggugut berlaku akibat daripada perubahan hormon dalam tubuh yang mula dirasai pada seminggu atau dua minggu sebelum haid.
Selain rasa sakit di bahagian perut, ramai wanita juga mengalami sakit belakang, khususnya di bahagian tengah.
Rasa tidak selesa di bahagian ini sebenarnya dianggap normal kerana ia berkait rapat dengan perubahan hormon semasa kitaran haid.
Salah satu hormon yang terlibat ialah prostaglandin, yang dihasilkan untuk merangsang pengecutan rahim dan membantu meluruhkan lapisan rahim.
Hormon ini juga boleh memberi kesan pada otot di bahagian bawah punggung, menyebabkan rasa tegang atau sakit belakang yang dirasai semasa haid.
Amalkan diet

Salah satu cara untuk melegakan senggugut adalah dengan meletakkan pad yang hangat atau botol berisi air suam yang dibalut dengan kain lembut pada bahagian belakang.
Kaedah ini membantu melonggarkan otot-otot di bahagian pinggang dan pinggul, seterusnya mengurangkan ketegangan dan rasa sakit yang dirasai semasa haid.
Selain kaedah pemanasan, ubat anti-radang bukan steroid iaitu ‘nonstreroid’ (NSAID) juga sering digunakan untuk meredakan senggugut.
Ubat ini membantu mengurangkan kesakitan serta keradangan yang berlaku semasa haid dan boleh diperoleh di farmasi atau melalui preskripsi daripada doktor.
Kajian menyeluruh menunjukkan bahawa NSAID terbukti sangat efektif dalam menangani senggugut yang teruk, malah keberkesannya dilaporkan lebih baik berbanding aspirin dalam ujian klinikal.
Jika kesakitan senggugut dan sakit belakang terasa terlalu kuat sehingga menyukarkan aktiviti harian, beri diri anda sedikit ruang untuk berehat dan memulihkan tenaga.
Ambil masa untuk melakukan aktiviti santai seperti membaca novel kegemaran, melakukan gerakan yoga ringan, atau menikmati mandian air hangat.
Aktiviti sebegini bukan sahaja menenangkan tubuh, malah dapat merangsang penghasilan endorfin, hormon semula jadi yang membantu mengurangkan rasa sakit.
Pengambilan suplemen dan vitamin, terutamanya vitamin B dan magnesium juga boleh membantu mengurangkan kekejangan semasa haid.
Selain itu, pastikan juga badan anda sentiasa hidrat dengan minum air secukupnya dan mengamalkan diet kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran, serta makanan bersifat anti-radang, kerana ia dapat membantu melegakan simptom senggugut yang teruk termasuk sakit belakang.
Bagaimanapun, jika mengalami rasa sakit yang berterusan walaupun haid sudah selesai, anda disarankan untuk dapatkan pemeriksaan perubatan segera. Keadaan ini mungkin menandakan anda mempunyai masalah kesihatan lain yang memerlukan perhatian profesional.
Sumber: Hello Doktor








