Personaliti media sosial, Zhiddin Aziz tampil menjelaskan penggunaan perkataan ‘Rembayung’ yang merupakan nama restoran milik pempengaruh terkenal Khairul Aming.

Artikel Berkaitan: Zhiddin Aziz Bidas Netizen Persoal Perkataan ‘Rembayung’ – ‘Kedai Yang Ada Kesalahan Ejaan Mereka Sunyi Pula’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Khairul Aming ‘Owner’ Restoran Rembayung, Simpan Rahsia Setahun – ‘Modal RM4 Juta Di Atas Tanah 8,000 Kaki’

Rembayung & lembayung

Menerusi perkongsian di Threads, Zhiddin memaklumkan bahawa perkataan ‘rembayung’ digunakan adalah bersesuaian dengan maksud dan warna pada papan tanda premis perniagaan tersebut.

Dia nak letak nama mak buyung pun tak ada masalah sebab di situ ada lesen artistik bahasa.

Saya perasan ramai yang tanya kenapa tak guna lembayung?

Cuba tengok singbroad warnanya keemasan, manakala lembayung pula berwarna ungu.

Menurut Zhiddin, ramai tidak mengetahui maksud sebenar ‘rembayung’ dan ‘lembayung’ yang mempunyai makna berbeza iaitu dari segi warna langit pada waktu senja.

Tambah Zhiddin lagi, nama ‘Rembayung’ diambil bertetapan dengan kejadian alam itu yang berlaku di negara ini.

Sebelum Khairul Aming buka kedai lagi ramai orang kita salah faham. Orang kita fikir langit yang waktu senja itu warnanya lembayung padahal bukan.

Langit waktu senja itu namanya layung. Rembayung dan lembayung tak sama, dua rangkai yang jauh berbeza bagai langit dan bumi dari segi takrifan namanya.

Lembayung itu waktu matahari nak tenggelam, timbul warna langit ungu. Senja yang kita tengok bukan lembayung, mana datangnya Malaysia senja langit warna ungu? Malaysia ini tropikal tebal, kelembapan tinggi mana nak datang lembayung?

Layung itu pula cahaya senja keemasan, jingga atau kemerahan. Inilah warna yang ada pada papan tanda kedai Khairul Aming itu. Rembayung pula adalah bayang yang timbul daripada cahaya warna layung.

Tiada dalam kamus?

Sementara itu, anak kepada pengacara terkenal, Allahyarham Aziz Desa tersebut turut menerangkan tentang pencarian perkataan ‘Rembayung’ yang tiada di dalam Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Jelas Zhiddin, imbuhan ‘rem’ adalah berasal dari sastera klasik yang kini jarang digunakan.

Memanglah tak ada (dalam kamus) sebab awak cari sekali dengan imbuhan ‘rem’.

‘Rem’ itu imbuhan klasik dalam Bahasa Melayu lama, yang menandakan perluasan makna, penguat citra dan tambahkan rasa.

Macam bulan, kita dengar perkataan dia keras dan tiada roh tapi bila ditambah imbuhan ‘rem’ terus kita bayangkan bulan yang terang-benderang, berseri dan mengembang di langit malam.

Sekarang tak guna, tapi dalam karya sastera lama banyak.

Sebelum ini, Zhiddin meluahkan rasa kurang senang dengan segelintir individu yang mempersoalkan nama restoran milik pempengaruh terkenal Khairul Aming itu.

Terdahulu, Khairul Aming berkongsi tentang pembukaan restoran pertamanya itu setelah lebih sepuluh tahun mengukir nama dalam perniagaan makanan.

Usahawan tersebut turut berkongsi kos membina restoran yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur berkenaan menelan belanja sebanyak RM4 juta.

Sumber: Zhiddin Aziz