
Bayangkan dunia pada masa hadapan apabila krisis air semakin meruncing, sedangkan harapan untuk menyelamatkan Bumi bergantung kepada seorang kanak-kanak yang dilahirkan di Marikh.
Pelangi Di Mars

Itulah kisah yang dibawakan menerusi filem animasi sains fiksyen Pelangi Di Mars, yang bakal membawa penonton menyelami sebuah pengembaraan futuristik bermula 3 September ini di pawagam seluruh negara.
Arahan Upie Guava, filem ini menggabungkan elemen pengembaraan, kekeluargaan dan drama futuristik, di samping mengetengahkan nilai persahabatan, keberanian, pengorbanan serta harapan yang pastinya sesuai untuk tontonan seisi keluarga.
Diterbitkan oleh Mahakarya Pictures dan MBK Productions dengan Primeworks Studios sebagai Rakan Pengedar dan Pemasaran, Pelangi Di Mars turut tampil dalam versi alih suara Bahasa Malaysia bagi memberikan pengalaman tontonan yang lebih dekat dengan penonton tempatan.
Mengambil latar pada dekad 2100-an, Pelangi merupakan kanak-kanak pertama yang dilahirkan di planet Marikh ketika kehidupan di Bumi semakin terancam akibat krisis air global.
Dalam usaha mencari jalan untuk membantu manusia, Pelangi bersama sekumpulan robot rosak yang menjadi sahabatnya memulakan satu misi penting untuk mendapatkan Zeolite Omega.
Mineral nadir itu dipercayai menjadi kunci untuk menyelamatkan Bumi. Namun, misi Pelangi tidak semudah yang disangka apabila Nerotek, korporat gergasi yang menguasai baki bekalan air dunia, turut memburu Zeolite Omega demi kepentingan mereka sendiri.
Menambahkan lagi sentuhan emosi dalam filem ini, penyanyi popular Nabila Razali turut menyumbangkan suara menerusi lagu tema rasmi versi Bahasa Malaysia berjudul ‘Warnai Pelangi’.
Pelangi Di Mars menampilkan barisan pelakon suara yang menghidupkan karakter masing-masing dengan identiti tersendiri.
Versi asal dibintangi Keinaya Messi Gusti sebagai Pelangi, Lutesha (Pratiwi), Rio Dewanto (Banyu), Livy Renata (Mirna) dan Myesha Lin (Little Pelangi), selain Kristo Immanuel (Yoman), Gilang Dirga (Petya), Bimo Kusumo Yudo (Batik), Vanya Rivani (Kimichi) dan Dimitri Arditya (Sulil).
Sementara itu, versi Bahasa Malaysia pula menampilkan Dania Aleesya sebagai Pelangi, Khayra Anzalna Binti Khaireel Azlee (Pelangi Kecil), Firdaus Sufiyan (Banyu), Mia Sara Shauki (Pratiwi), Radhi Ibrahim (Mirna), Azman Zulkiply (Batik), Ahmad Azizi (Petya), Ezza Afiqa (Kimci), Muhammad Mustaqim (Sulil) dan Dyle Frettman (Yoman).
Jadi, jangan lepaskan peluang untuk mengikuti pengembaraan Pelangi dan rakan-rakannya dalam Pelangi Di Mars, bermula 3 September ini di pawagam seluruh negara.








