Hari ini Thailand dilaporkan telah menamatkan pelaksanaan perintah berkurung di negara itu. Aktiviti ekonomi seperti perniagaan dan acara dibuka kembali memandangkan situasi Covid-19 dilihat bertambah baik. Thailand merekodkan hari ke-21 tanpa jangkitan daripada orang tempatan.
Kaji cadangan ‘travel bubbles‘
Memetik laporan Bernama, tiada angka kes atau kematian dilaporkan di negara itu dalam tempoh 24 jam. Manakala sebanyak 2,987 daripada 3,135 kes positif direkodkan telah pulih dan dibenarkan keluar daripada hospital.
Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 Thailand (CCSA) iaitu Thaweesilp Wissanuyothin melaporkan agensi tersebut sedang mengkaji cadangan pendekatan ‘travel bubbles‘ (koridor perjalanan). Mereka menyangkakan ada kemungkinan beberapa negara akan menghadapi gelombang baharu COVID-19.
Menurut beliau, Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha secara prinsip telah bersetuju pada Jumaat lepas untuk membuka semula sempadan negara kepada pelawat asing dengan mewujudkan travel bubbles dengan negara-negara yang berjaya mengekang penularan pandemik COVID-19.
Buka perjalanan semula
Thailand telah membuka semula perjalanan kepada pelawat perniagaan atau perkhidmatan rawatan dari negara yang mencatatkan jumlah kes rendah seperti China, Hong Kong, Taiwan, Macau, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand, Laos, Myanmar dan Kemboja.
Bagaimanapun, langkah-langkah dan garis panduan SOP cadangan tersebut akan dibawa dalam mesyuarat CCSA. Tambahan, kerajaan akan meneliti setiap perincian ketika membuka pintu kemasukkan pelawat dari negara berkenaan.
Kami akan mendapatkan pilihan terbaik untuk negara. Travel Bubbles mampu menggerakkan semula ekonomi dan ia juga mungkin boleh menimbulkan risiko kesihatan. Isu ini memerlukan pertimbangan yang teliti.
Perlu ada peraturan untuk pekara ini sebelum pelancongan antarabangsa disambung semula. Kita akan melakukannya selangkah demi selangkah. Kita akan lihat sama ada negara-negara yang bekerjasama turut mempunyai jalinan kerjasama antara bandar raya. Kerajaan sedang merancangnya dengan teliti.
Sumber: Astro Awani, Bernama