
Pelakon, Kamal Adli berlapang dada dan menyerahkan sepenuhnya kepada ketentuan Yang Maha Esa berhubung kes perceraiannya dengan isteri, aktres Uqasha Senrose.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Dia Jual Mahal Tapi Nak’ – Kamal Adli Rindu Hawra
Artikel Berkaitan: Kamal Adli Tak Sambut ‘New Year’, Akui Tiada Azam 2026
Reda

Kamal, 40, berkata sebarang keputusan yang bakal ditentukan oleh mahkamah pada prosiding hakam yang berlangsung pada Isnin akan diterima dengan hati terbuka.
Sekarang sudah masuk proses hakam dan boleh dikatakan sudah hampir sampai ke penghujung. Saya sendiri tidak tahu nak ulas apa. Doakan yang baik-baik. Jika sudah tiada jodoh, wallahualam.
Apa pun, saya sudah berusaha daripada awal lagi. Sekarang saya tunggu sahaja apa yang akan ditentukan oleh pihak mahkamah.
Kamal hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada jam 9.40 pagi dengan ditemani peguamnya, Hadi Salleh serta beberapa orang sahabat.
Sementara itu, Uqasha yang tiba kira-kira 10 minit lebih awal memohon agar semua pihak mendoakan yang terbaik buat dirinya.
Dalam pada itu, peguam syarie yang mewakili aktres berkenaan, Muhammad Syazmee Sapian menjelaskan prosiding pada Isnin merupakan peringkat kedua hakam keluarga.
Hari ini merupakan peringkat kedua hakam keluarga iaitu melibatkan lantikan hakam keluarga. Selepas itu, kita akan lihat sama ada kes ini diteruskan dengan prosiding timbang tara hakam atau sebaliknya.
Untuk rekod, Uqasha menfailkan permohonan perceraian terhadap Kamal pada 1 Oktober tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atas alasan tiada persefahaman.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang selepas lima bulan mengikat tali pertunangan.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang dilahirkan pada 27 April 2024.








