Bekas Naib Juara Dewi Remaja 2019, Adriana Ghafar, memaklumkan bahawa dirinya kini kembali aktif di dalam dunia hiburan tanah air selepas beberapa tahun menyepi.

Artikel Berkaitan: Scha Ellinea Nafi ‘Dibela’ Sugar Daddy – ‘Takkan Lah Saya Nak Bagi Wang Dari Sumber Haram Dekat Keluarga’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Fahimi Rahmat Dedah Pernah Ditawar Untuk ‘Dibela’ – ‘Dia Nak Bayar Saya RM300,000’

Bergelar peguam

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Nur Nafissa Adriana Abdul Ghafar, 28, itu menjelaskan bahawa dirinya menghilang dari radar industri hiburan kerana menyambung pengajian dalam jurusan undang-undang.

Saya merupakan graduan lulusan undang-undang (ijazah sarjana muda), selepas itu saya sambung chambering pula sebagai peguam. Jadi saya sebenarnya peguam bertauliah.

Cuma buat masa sekarang ini, saya nak fokus pada industri, lebih kepada bidang lakonan dan pengacaraan.

Adriana berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersamanya yang berlangsung di JW Marriot, Kuala Lumpur pada Rabu.

Kembali ke dunia seni

Sementara itu, graduan dari Universiti Malaya tersebut turut berkongsi tentang penerimaan keluarganya selepas mengambil keputusan untuk bergelar anak seni.

Pada mulanya mereka (keluarga) ada rasa sedikit gentar bila saya memilih kerjaya ini, tapi mereka juga memberi sokongan.

Alhamdulillah setakat ini dengan sokongan keluarga, saya akan teruskan apa yang saya nak buat dalam industri, InsyaAllah.

Bagi saya tak ada istilah sia-sia. Ijazah itu masih saya genggam. Jadi saya tak perlukan validation daripada orang pasal “sia-sia” dan sebagainya sebab bagi saya, saya boleh saja teruskan bidang guaman bila-bila masa saya nak.

Dalam perkembangan lain, Adriana kembali aktif dalam bidang seni dan pada tahun ini dia telah membintangi dua telefilem serta sebuah drama televisyen.

Selain itu, Adriana juga menjadi model bagi pereka fesyen tempatan dan turut terlibat dalam pelbagai kempen iklan jenama utama di Malaysia.

Walaupun saya pernah mengambil rehat yang agak lama daripada industri hiburan untuk memberi fokus kepada pengajian, saya sangat bersyukur kerana industri masih memberi kepercayaan dan peluang kepada saya sebagai pelakon, model dan pengacara sejak saya kembali aktif tahun ini.

Saya menikmati dan menghargai setiap peluang tersebut, namun bidang pengacaraan dan lakonan sentiasa dekat di hati saya dan saya akan memberikan komitmen sepenuhnya.