Personaliti media sosial dan penyanyi, Ceddy Ang mengakui sudah bersedia berdepan dengan sebarang kecaman apabila tampil dengan single keduanya berjudul Asal Ada Kamu.

Artikel Berkaitan: Ceddy Ang Kongsi Pandangan Isu Artis Sombong – ‘Artis, Peminat Kena Ada Empati, Saling Memahami’

Artikel Berkaitan: ‘Awak Kena Ambil Kerja & Bakat Itu Dengan Serius, Pergi Kelas Atau Usaha Asah Kemahiran’ – Ceddy Ang

Tak kisah dikritik

Ketika ditemui OhBulan!, Ceddy, 37, mengakui bahawa terdapat segelintir pihak yang kurang menyukai gaya nyanyiannya.

Namun, dia menegaskan bahawa pendengar bebas memilih karya lain sekiranya tidak berminat dengan hasilnya.

Walaupun akan ada orang berkata, dia tak suka cara saya menyanyi. Tak mengapa, ada banyak lagu di luar, jadi tolong pilih untuk dengar lagu lain.

Saya tahu akan ada yang cakap, saya ‘influencer’ tak perlu menyanyi tapi siapa kalian untuk beritahu saya tak boleh merealisasikan impian saya?

Ceddy berkata demikian pada majlis pelancaran muzik video Asal Ada Kamu di A Quiet Place, di ibu kota pada petang Selasa.

Malah kata Ceddy, dia tidak mengambil pusing dengan kritikan yang diterima kecuali jika ia bersifat membina.

Dalam seni, kritikan itu perkara biasa. Saya boleh terima jika ia membina. Kalau ada yang kata suara saya sumbang, itu boleh diperbaiki.

Namun, serangan peribadi tidak sepatutnya berlaku.

Saya sedar kemampuan diri. Jadi jangan datang ke persembahan saya dengan jangkaan vokal hebat. Datanglah untuk berhibur dan berseronok.

Ceddy berkongsi bahawa dia telah berusaha memperbaiki kualiti nyanyiannya dengan mengikuti kelas vokal sejak tiga tahun lalu, termasuk menerima tunjuk ajar daripada Cikgu Shafi.

Kita lihat ramai hos kini boleh menyanyi seperti Alif Satar dan Elly Mazlein.

Jadi, saya ambil inisiatif belajar. Selepas tiga tahun, saya rasa inilah masa sesuai untuk serius dalam bidang nyanyian.

Berkongsi lebih lanjut mengenai bidang nyanyian, Ceddy memaklumkan bahawa minatnya terhadap nyanyian sudah lama wujud, namun baru kini impiannya itu dapat direalisasikan.

Saya memang suka menyanyi dan menari di pentas sejak kecil. Walaupun suara saya tidak sempurna, saya tetap berani mencuba.

Sekarang usia sudah 37 tahun, bila lagi saya mahu mencuba?

Sementara itu, Ceddy menjelaskan lagu Asal Ada Kamu dihasilkan bukan sekadar untuk meraih populariti atau mencetuskan fenomena tular di media sosial.

Single Asal Ada Kamu mengangkat elemen retro dengan sentuhan istimewa daripada Bo Amir dan MimiFly dan menampilkan sisi lebih matang berbanding lagu terdahulu, Selangkah.