Pempengaruh media sosial dikenali sebagai Abang Minyak Hitam Jalanan meluahkan rasa syukur apabila menerima tajaan untuk menunaikan ibadah umrah.

Artikel Berkaitan: Kumpulan UNIC Dominasi Dua Kategori Di Anugerah Carta 114

Bantu ikhlas tanpa balasan

Menerusi perkongsian di TikTok, Abang Minyak Hitam Jalanan atau nama sebenarnya Mohd Yusof Mohd Noor berkata, segala usaha yang dilakukannya selama ini adalah ikhlas demi membantu orang ramai tanpa mengharapkan balasan.

Saya buat kerja-kerja membantu orang awam adalah secara ikhlas kerana Allah. Tidak pernah meminta atau meraih sebarang pujian daripada mana-mana pihak.

Saya sangat bersyukur dengan rezeki yang Allah beri ini. Saya betul-betul tidak sangka menerima tajaan umrah ini. Orang ramai beri infaq dan saya hanya jalankan amanah tersebut untuk membantu orang lain.

Tajaan tersebut diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama TV AlHijrah sebagai penghargaan terhadap jasa serta sumbangan yang dicurahkan Yusof kepada masyarakat.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata wargamaya turut menumpang gembira selain memuji keikhlasan Yusof dalam membantu golongan memerlukan.

Malah, ramai yang turut mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan sepanjang berada di Tanah Suci serta berharap Yusof terus istiqamah melakukan kerja kebajikan selepas ini.

Yusof kerap berkongsi kandungan di akaun TikTok miliknya iaitu “Minyak Hitam Jalanan”, yang memaparkan usahanya membantu individu yang berdepan masalah kerosakan motosikal tanpa mengharapkan balasan atau bayaran.

Dalam perkembangan lain, TV AlHijrah terus memperkukuh peranannya sebagai stesen penyiaran Islam utama negara dengan membawakan rangkaian program khas sempena musim Haji dan Aidiladha bermula April hingga akhir Mei 2026.

Mengangkat tema “Arafah: Puncak Munajat & Harapan”, pelbagai program disediakan bagi memberi kefahaman ibadah, penghayatan rohani serta laporan semasa dari Tanah Suci.

Antara program utama termasuk Interaktif Haji yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat jam 9 malam bermula 20 April, menampilkan perbincangan bersama asatizah serta interaksi langsung dengan penonton melalui media sosial.

Selain itu, Kisah Mutawif yang bermula pada 30 April, berkongsi pengalaman sebenar membimbing jemaah, manakala Diari Labbaikallah pada 11 Mei membawakan laporan langsung dari Mekah mengenai suasana dan perjalanan ibadah haji.

Kemuncak siaran adalah Munajat Arafah pada 26 Mei jam 5 petang, diikuti siaran langsung Khutbah Arafah 2026 yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada jam 7 malam.

Bagi sambutan Aidiladha, program Peristiwa Hari Tasyrik akan disiarkan pada 28 hingga 30 Mei jam 9 malam, mengupas hikmah dan amalan sepanjang hari Tasyrik.

Dalam masa sama, program Assalamualaikum dan Berita AlHijrah turut menampilkan segmen khas serta laporan harian musim haji.