Seorang personaliti media sosial yang didakwa mengkritik Rimba Jungle Boardwalk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyangkal dakwaan segelintir netizen bahawa dia memperlekehkan infrastruktur di kawasan itu.

Artikel Berkaitan: Bersilat Di Masjid Nabawi, Lelaki & Dua Kanak-Kanak Undang Kecaman Netizen – ‘Niat Datang Sana Nak Buat Konten Ke?’

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Wanita ‘Memekak’ Pemotong Rumput Kotorkan Kereta, Netizen Sekolahkan Balik – ‘Kereta Kau Sorang Je Baru Basuh’

‘Video telah disunting’

Menerusi perkongsian di Instagram, individu dikenali Ivor berkata dia tidak pernah menyatakan dan memberi gambaran bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang lemah, ketinggalan atau tidak mampu menghasilkan pengalaman bertaraf dunia.

Ivor turut memohon maaf sekiranya video itu mencetuskan persepsi negatif yang tidak selari dengan maksud sebenar yang ingin disampaikannya.

Video yang sedang tular ketika ini disunting secara terpilih dengan beberapa bahagian penting perbualan dipotong sehingga mewujudkan naratif yang mengelirukan dan tidak menggambarkan pandangan sebenar saya.

Malangnya perkara ini telah menimbulkan persepsi bahawa saya mengkritik Malaysia atau Rimba sedangkan itu bukanlah maksud saya sama sekali.

Kata Ivor, tujuan video itu dibuat adalah untuk membincangkan pengalamannya sebagai seorang pelanggan serta ruang penambahbaikan secara membina.

Jelasnya, dia tidak niat untuk memperlekehkan Malaysia atau mana-mana perniagaan tempatan.

Sebagai usahawan Malaysia, saya sentiasa bangga menyokong serta membangunkan jenama tempatan dan percaya maklum balas yang membina adalah penting untuk industri kita terus berkembang menjadi lebih baik.

Tambah Ivor, dia juga dalam proses mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguam dan akan mengambil langkah untuk memastikan dirinya dilindungi.

Sebelum ini, tular sebuah video yang memaparkan kunjungannya ke Rimba yang didakwa mengandungi kritikan sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Sumber: Instagram