Dalam dunia hiburan Malaysia, tidak ramai selebriti yang melalui perubahan hidup sebesar Neelofa.

Pernah dikenali sebagai antara figura paling popular dan paling banyak diperkatakan, Neelofa juga tidak terlepas daripada pelbagai kontroversi yang mengundang kritikan.

Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, perjalanan hidup Neelofa berubah dengan ketara.

Daripada bintang hiburan dan ikon fesyen, Neelofa kini lebih dikenali sebagai usahawan, ibu serta figura muslimah yang aktif berkongsi kandungan berunsur kerohanian.

Artikel Berkaitan: Admin Naelofar Dedah Neelofa Hamil Anak Ketiga, Netizen Tumpang Gembira – ‘Kena Ramai Sebab Baka Bijak Pandai’

Artikel Berkaitan: Harga Tiket Majlis Ilmu PU Riz & Neelofa Jadi Bualan Lagi, Netizen Pertahan Anggap Berbaloi – ‘Ini Pengisian Rohani’

Transformasi penghijrahan Neelofa

1. Bermula Sebagai Dewi Remaja

Nama Neelofa mula menjadi perhatian selepas muncul sebagai juara Dewi Remaja 2009/2010. Kemenangan itu membuka pintu kepada dunia lakonan, pengacaraan dan pengiklanan.

Dalam tempoh beberapa tahun sahaja, Neelofa menjadi antara selebriti wanita paling laris di Malaysia menerusi drama, filem dan program hiburan.

Pada masa sama, Neelofa turut membina empayar perniagaan sendiri menerusi jenama Naelofar Hijab yang dilancarkan pada 2014.

Malah, pada 2017, Neelofa tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia bagi kategori Retail & E-commerce, sekali gus mengiktiraf kejayaannya sebagai usahawan muda.

2. Kontroversi Pelancaran Turban Yang Mengubah Persepsi Ramai

Pada Februari 2018, Neelofa menjadi tumpuan apabila pelancaran koleksi Be Lofa Turban diadakan di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur.

Walaupun produk berkenaan habis dijual dalam tempoh kurang 24 jam, pemilihan lokasi menerima kecaman kerana dianggap tidak sesuai dengan imej produk Muslimah yang dipasarkan.

Susulan kritikan itu, Neelofa tampil memohon maaf secara terbuka dan mengakui keputusan tersebut telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.

3. Pernah Berdepan Kritikan Berkaitan Produk Perniagaan

Pada penghujung 2019, minuman susu pisang di bawah jenama Nilofa turut mencetuskan perdebatan selepas dakwaan mengenai manfaat kesihatannya dipersoalkan oleh beberapa pihak termasuk pengamal perubatan.

Neelofa menjelaskan bahan promosi tersebut diterbitkan oleh agensi pemasaran tanpa kelulusan syarikatnya. Kementerian Kesihatan turut menjalankan pemeriksaan sebelum mengesyorkan beberapa penambahbaikan pada pelabelan produk.

Manakala pada Jun 2024, produk dibawah Nilofa Group sekali lagi mencetuskan amarah netizen apabila mempromosikan produk kesihatan wanita dan hubungan intim suami isteri ‘isterix’ menggunakan gambar didakwa double meaning atau lucah.

Bagaimanapun, hantaran tersebut telah dipadam dan Nilofa Group mengeluarkan kenyataan permohonan maaf serta berjanji akan lebih sensitif.

4. Mengurangkan Kemunculan Dalam Dunia Hiburan

Pada Disember 2019, Neelofa mengejutkan ramai apabila secara rasminya mengumumkan pengundurannya daripada program hiburan popular, Meletop setelah tujuh tahun mengendalikannya bersama pengacara dan pelawak, Nabil Ahmad.

Mengakui keputusan tersebut berat untuk dilakukan, Neelofa bagaimanapun menjelaskan tindakan tersebut diambil bagi mengelakkan diri terus berada di zon selesa, selain mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada perancangan kerjaya serta mengembangkan sayap perniagaannya.

Sehingga kini, kemunculannya di kaca televisyen juga lebih banyak melibatkan program berbentuk inspirasi dan keagamaan berbanding hibburan semata-mata. Malah, Neelofa dan suami, PU Riz turut aktif mengadakan program dakwah.

5. Keputusan Berniqab Menjadi Titik Perubahan

Pada Oktober 2020, Neelofa mengejutkan ramai apabila mengumumkan dia memilik untuk memakai niqab.

Keputusan itu mengundang pelbagai reaksi, namun Neelofa menjelaskan ia dibuat atas pilihan peribadi sebagai sebahagian daripada usaha memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada agama.

Sejak itu, kandungan media sosialnya turut berubah dengan lebih banyak perkongsian mengenai kehidupan berkeluarga, motivasi serta pengisian kerohanian.

6. Perkahwinan Yang Turut Mengundang Perhatian

Pada Mac 2021, Neelofa sah bergelar isteri kepada pendakwah bebas, Haris Ismail atau lebih mesra dikenali sebagai PU Riz. Perkahwinan mereka menjadi bualan ramai apabila timbul dakwaan mereka melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan isu merentas negeri ke Langkawi dan didakwa menyalahgunakan permit lawatan kerja ke Langkawi bagi tujuan berbulan madu .

Pada Mei 2021, Neelofa dan PU Riz sekali lagi menjadi bualan isu merentas negeri ke Nilai, Negeri Sembilan dan didenda oleh mahkamah atas kesalahan melanggar SOP PKP.

7. Fokus Kepada Perniagaan dan Dakwah Digital

Selepas mengundurkan diri daripada dunia pengacaraan arus perdana, Neelofa memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan empayar perniagaan serta usaha memperluaskan kandungan berunsurkan islamik.

Selain mengembangkan jenama Naelofar yang terkenal dengan koleksi hijab, abaya serta busana Muslimah, Neelofa dan suaminya, PU Riz turut membina jenama NunHa, yang menawarkan pelbagai produk gaya hidup Muslim seperti inai kuku sah solat, koleksi jilbab, dan abaya longgar.

Komitmennya terhadap dakwah pula diterjemahkan menerusi penglibatan aktif dalam TheNoor, aplikasi gaya hidup Muslim yang menyediakan pelbagai kemudahan seperti waktu solat, al-Quran digital, arah kiblat serta kandungan ilmu agama.

Dalam masa yang sama, Neelofa turut menggerakkan Pertubuhan Kasih Neelofa, sebuah platform kebajikan yang aktif menjalankan misi bantuan kemanusiaan, memperkasa golongan asnaf serta menganjurkan kelas-kelas pengajian agama.

Di media sosial, Neelofa kini lebih banyak berkongsi potongan ceramah, tazkirah ringkas, tip istiqamah dan refleksi keagamaan. Neelofa sendiri pernah berkongsi pendedahan berterusan kepada kandungan Islamik menjadi antara faktor yang membantunya kekal konsisten dalam proses memperbaiki diri.