
Penyanyi dan komposer, Ajai menyifatkan cadangan untuk mengembalikan kategori muzik pop dalam anugerah muzik tempatan sebagai satu langkah yang tepat dan wajar dilaksanakan.
Artikel Berkaitan: Ajai Tak Tolak Kongsi Pentas Dengan Nourul Depp – ‘Kalau Ada Rezeki, Kita Tunggu Waktu Yang Tepat’
Artikel Berkaitan: ‘Saya Kurang Bertanya Hal Peribadi Pada Ayu, Suatu Hari Hatinya Akan Terbuka Untuk Berbaik Bersama Nourul’ – Ajai
Maksud sebenar muzik pop

Ketika ditemui OhBulan!, Ajai atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Maas, 52, berpendapat cadangan tersebut secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat mengenai maksud sebenar Muzik pop.
Bagi saya, itu adalah cadangan yang bagus.
Sebenarnya, sewaktu ada kategori itu, secara tidak langsung dapat mendidik masyarakat mengenai erti sebenar muzik pop.
Ini sebenarnya penting, supaya orang ramai tidak keliru sama ada pop itu sebuah konsep atau genre asas.
Pop itu bermaksud popular.
Muzik jazz, irama Malaysia, balada, dan etnik juga boleh menjadi popular.
Menurut Ajai, istilah pop sering disalahertikan sebagai satu genre khusus, sedangkan perkataan tersebut sebenarnya merujuk kepada sesuatu yang bersifat popular serta boleh merangkumi pelbagai jenis muzik.
Konsep sebenar sesebuah lagu itu bergantung kepada perkataan di hadapannya, contohnya seperti pop rock, pop etnik, atau pop balada.
Jika ia dikembalikan, sangat bagus dan lebih tepat kerana kita tahu pembahagian kategorinya dengan jelas.
Sepanjang lapan kali saya memenangi anugerah dahulu, semuanya adalah berdasarkan pembahagian kategori pop itu, sama ada pop rock atau pop balada.
Ajai berkata demikian ketika ditemui pada majlis Muzik Lab: Hab Kreatif Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) di Mcdonald’s Pantai Sentral.
World music

Dalam pada itu, pelantun lagu ‘Bisikan Asmara’ menjelaskan bahawa konsep sesebuah lagu bergantung kepada perkataan yang hadir selepas istilah pop, sekali gus menjadikan pembahagian kategori lebih jelas kepada peminat muzik.
Jadi kita akan tahu siapa Raja atau Ratu untuk genre etnik, genre pop, mahupun genre rock.
Di Malaysia pada waktu itu, memang ketiga-tiga genre ini yang paling popular.
Sementara itu, Ajai turut menjelaskan bahawa kategori muzik dunia atau ‘world music’ tidak semestinya merujuk kepada hanya mempunyai elemen tradisional seperti bunyi gendang, sebaliknya merangkumi pelbagai konsep dari luar Malaysia.
‘World music’ ini merangkumi apa-apa sahaja konsep muzik yang bukan secara spesifiknya berasal dari Malaysia.
Jadi elemen hip hop mahupun reggae, semuanya boleh dimasukkan di bawah kategori etnik itu.
Kalau ada orang mempertikaikan nanti terlalu banyak kategori jika dimasukkan reggae dan pop, jawapannya tidak.
Ia tetap dikira sebagai muzik luar, bukannya nilai komersial asal Malaysia yang kebiasaannya didominasi oleh genre balada dan rock.
Ujar Ajai lagi, kekeliruan mengenai kategori berkenaan berlaku apabila segelintir pihak menganggap muzik etnik hanya berkaitan dengan identiti tempatan, sedangkan world music mempunyai skop yang lebih luas.
Sebab itu kadang-kadang orang keliru, mereka ingat ‘world music’ ini wajib ada bunyi gendang.
Tidak, bukan begitu.
Asalkan ia mempunyai elemen etnik luar yang bezanya kita boleh dengar dan tahu ia bukan identiti muzik Malaysia yang biasa seperti reggae, samba, atau jazz, semuanya dikira sebagai ‘world music’ yang mewakili kategori etnik.








