
Dulu, perjalanan menjadi artis biasanya bermula dengan uji bakat, latihan, watak kecil atau bertahun-tahun mencuba sebelum nama dikenali. Hari ini, urutannya boleh terbalik. Viral dahulu, tawaran datang, kemudian baru belajar menjadi pelakon, penyanyi atau pengacara.
Tidak salah media sosial membuka pintu kepada bakat baharu. Tetapi apabila jumlah follower dan tontonan mula menjadi antara ukuran nilai komersial seseorang, timbul persoalan adakah industri terlalu cepat memberikan status ‘bintang’ sebelum kemahiran sempat dibina?
Artikel Berkaitan: Pelakon Atau Pempengaruh? Apabila Jumlah ‘Followers’ Mula Menentukan Peluang Berlakon
Artikel Berkaitan: Bakat Sebenar Atau Sekadar Viral? 6 Pempengaruh Yang Berjaya Cipta Nama Sebagai Pelakon
Bila Follower Jadi ‘Resume’ Baharu
Realitinya, creator hari ini mempunyai sesuatu yang sangat bernilai kepada industri iaitu audiens sedia ada.
Laporan Influencer Marketing in Malaysia 2026 oleh AnyMind Group menunjukkan TikTok berkembang pesat dalam ekosistem creator tempatan, sementara kandungan hiburan menjadi antara kategori utama influencer di Malaysia.
Dari sudut penerbit, memilih wajah dengan ratusan ribu follower memang mempunyai logik komersial. Mereka bukan sekadar mengambil bakat, tetapi mendapat akses kepada audiens yang mungkin mengikuti projek tersebut.
Namun pelakon Syanie Hisham baru-baru ini membangkitkan sisi lain fenomena itu apabila mendakwa trend industri kini lebih mengutamakan artis yang mempunyai ramai pengikut di media sosial. Syanie berkata dia sudah dua tahun tidak menerima tawaran lakonan walaupun mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam industri.
Di sinilah perdebatan menjadi menarik. Patutkah kemampuan membawa penonton ke media sosial mempunyai nilai lebih besar daripada pengalaman membawa watak di hadapan kamera?
Popular Cepat, Tapi Kemahiran Tak Boleh ‘Download’
Menjadi viral membuktikan seseorang tahu menarik perhatian. Tetapi lakonan, nyanyian dan pengacaraan tetap memerlukan kemahiran berbeza.
Pelakon senior Didie Alias pernah mempersoalkan lambakan TikToker yang memasuki dunia seni dan menegaskan mereka tetap perlu mempunyai sikap rendah diri serta menghormati penggiat yang lebih berpengalaman.
Pempengaruh dan pelakon Aizat Saha pula memberikan perspektif menarik apabila mengakui pernah menerima tawaran menghasilkan lagu tetapi memilih menolaknya kerana menyedari kekuatannya lebih kepada lakonan.
Menurut Aizat, mereka yang benar-benar mahu menyanyi perlu belajar dan melakukan persediaan terlebih dahulu. Itulah perkara yang mudah dilupakan dalam era viral.
Peluang boleh datang dalam semalam, tetapi kemahiran dan bakat sebenar kebiasaannya tidak.
Tetapi Viral Bukan Bermaksud Tak Berbakat
Pada masa sama, tidak adil jika setiap individu yang bermula di TikTok dianggap tidak layak memasuki industri seni. Media sosial juga telah menjadi tempat bakat ditemui.
Penyanyi baharu Adam Nuqris, misalnya, mula membina perhatian menerusi persembahan cover di TikTok sebelum melancarkan single sulung Alasan pada Mei 2026. The Star melaporkan dia mempunyai lebih 68,000 pengikut ketika membuat peralihan daripada fenomena TikTok kepada artis rakaman.
Contoh seperti ini menunjukkan masalah sebenar bukanlah dari mana seseorang bermula. TikTok boleh menjadi pentas pertama sebagaimana program realiti, pertandingan nyanyian atau teater pernah menjadi pintu masuk generasi terdahulu.
Yang lebih penting ialah apa yang berlaku selepas pintu itu terbuka. Adakah seseorang menggunakan populariti untuk belajar dan meningkatkan kemahiran atau populariti itu sendiri dianggap sudah mencukupi?
Industri Pun Ada Sebab Mahu Wajah Viral
Dalam pasaran yang penuh persaingan, produksi juga perlu memikirkan tontonan, pemasaran dan pulangan. Wajah viral mempunyai nilai kerana sebahagian promosi sudah tersedia melalui fanbase mereka.
Pada masa sama, bakat yang kurang aktif di media sosial mungkin semakin sukar dilihat walaupun mempunyai pengalaman lebih panjang.
Pelakon Zizan Razak sendiri pada Julai lalu mengingatkan pelakon baharu supaya tidak terlalu mengejar populariti. Menurutnya, nilai seseorang pelakon tidak seharusnya hanya berpandukan jumlah pengikut atau tontonan, sebaliknya turut melibatkan usaha, hasil kerja dan kepuasan penonton.
Viral Sepatutnya Jadi Pintu, Bukan Kelayakan
Creator economy memang tidak akan hilang. Malah laporan AnyMind mengenai Asia menyatakan jurang antara sesuatu yang sekadar ‘viral’ dengan sesuatu yang benar-benar ‘valuable’ semakin besar apabila industri creator semakin matang. Laporan itu menjejaki lebih 1.1 juta influencer dan hampir 7,000 kempen di 10 pasaran Asia.
Mungkin prinsip sama patut digunakan dalam industri seni. Viral boleh menjadi sebab seseorang diberi peluang. Tetapi viral tidak sepatutnya menjadi bukti bahawa seseorang sudah mahir.
Bintang yang benar-benar bertahan biasanya tidak dibina hanya daripada satu video, satu trend atau satu juta follower. Mereka dibentuk oleh proses belajar, pengalaman, disiplin dan karya yang membuat orang terus mahu melihat mereka selepas hype pertama hilang.
Jadi, adakah industri terlalu cepat menjadikan seseorang ‘bintang’? Mungkin masalahnya bukan kita terlalu cepat memberi peluang tetapi terlalu cepat menganggap populariti sebagai bukti kemampuan.
Kerana algoritma boleh menghasilkan nama baharu setiap hari. Tetapi untuk menghasilkan artis yang mampu bertahan bertahun-tahun, industri masih memerlukan sesuatu yang algoritma tidak boleh percepatkan proses.
Sumber: mstar, The Star, Anymind Group






![[VIDEO] Khairul Aming Nasihat Farah Dina Rancang Kerjaya, Kewangan – ‘Tak Nak One-Hit Viral, Kita Nak Sustain Lama’](https://asset.ohbulan.com/2026/08/IMG_6309.jpeg)
