Perkongsian seorang lelaki yang dipercayai abang kepada Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, mangsa nahas kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer 110.3, Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) arah timur, Lanchang, Temerloh meraih perhatian.

Artikel Berkaitan: ‘Saya Baru Minggu Lepas Pergi Kafe Arwah’ – Kamal Adli Sebak Tiga Beranak Maut Kemalangan 11 Kenderaan

Kehilangan

View on Threads

Menerusi perkongsian di Threads, lelaki dikenali Iqiekazama mengakui berita mengejut itu membuatkannya sukar untuk menerima kenyataan bahawa adiknya, bersama suami dan anaknya telah pergi buat selama-lamanya susulan tragedi berkenaan.

Kamu tidak akan pernah tahu betapa dalamnya kamu mencintai seseorang sehingga kamu kehilangan mereka.

Sofiya, along (nama panggilan) tak tahu macam mana nak proses aok (arwah), Armaan (anak buah) dan Naza (abang ipar) sudah tiada.

Bila baca berita rasa macam mimpi, betul ke? Betul ke? Betul ke?

Sampai lah along sendiri kena kuatkan diri buat pengecaman jenazah.

Bercerita lebih lanjut, Iqiekazama berkata wajah ketiga-tiga beranak itu kelihatan sempurna tanpa sebarang kecacatan, walaupun keadaan kereta yang dinaiki mereka agak teruk.

Allah pelihara aok, Naza dan Armaan. Muka cantik dan jelas. Along dengar penjelasan dari forensik tentang kecederaan yang berlaku tapi along tanya satu sahaja dekat doktor, ‘Doktor, mereka rasa sakit tak doktor?’.

Doktor cakap tak, mereka tak rasa sakit. Along lega.

Menurutnya, dia bersama keluarganya kini perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu tanpa kehadiran adiknya di sisi.

Kita selalu gaduh tapi esok baik, gaduh sahaja esok cakap macam biasa.

Gaduh tapi bila mintak tolong mesti sampai. Awak tolong saya naikkan Sakurabakes dulu, sentiasa bagi maklum balas untuk perbaiki kedai along yang sekarang.

Dan sebagai balasannya, saya selalu mendorong awak untuk majukan lagi kedai. Saya tahu minat awak adalah membuat kek dan saya bangga awak meneruskannya.

Imbas kembali, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam Isnin itu, empat individu dilaporkan maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan.

Salah seorang mangsa yang maut ialah pemilik Secangkir Cafe, Sofiya, 32, yang meninggal dunia bersama suaminya, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, serta anak lelaki mereka.

Tiga beranak itu menaiki sebuah Proton S70 ketika kemalangan berlaku.

Seorang lagi mangsa lelaki yang turut maut dipercayai menaiki sebuah Honda CR-V.

Menurut laporan media, kemalangan itu membabitkan pelbagai jenis kenderaan termasuk bas ekspres, lori tangki, trak pikap, kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kereta.

Sumber: Threads