
Hasrat keluarga remaja, Muhamad Haiman Fitri Supian untuk mengadakan majlis kesyukuran sempena berpindah ke rumah baharu bertukar menjadi kenduri tahlil selepas mangsa dikhuatiri lemas di Pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar.
Artikel Berkaitan: Ibu Lemas Akibat Banjir, Anak Simpan Mayat Dalam Peti Sejuk Elak Dihanyut Air
Remaja dikhuatiri lemas

Memetik Sinar Harian, bapa saudaranya, Sharizal Ibrahim berkata, keluarga mereka baru sahaja berpindah ke rumah generasi kedua di Felda Bukit Waha pada 30 Ogos lalu.
Menurutnya, majlis yang dirancang pada Sabtu tetap akan diteruskan kerana segala persiapan sudah dibuat, namun kini diadakan bagi mendoakan Haiman yang masih belum ditemui.
Esok kami teruskan juga kenduri itu kerana persiapan sudah dibuat. Arwah baru sahaja dua atau tiga hari masuk rumah baharu berkenaan.
Sebelum ini media dilaporkan, enam remaja berusia 16 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai berkenaan, namun dua daripada mereka berjaya diselamatkan orang awam.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diaktifkan sejurus kejadian berjaya menemukan mangsa pertama, Alif Taqiuddin Kamal Hasrul, pada jam 1.15 petang, kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.
Laungan azan di tengah laut oleh guru dan pelajar tahfiz pula membawa kepada penemuan mangsa kedua, Muhamad Thaqif Rayyan Rumainoor, 16, yang ditemukan terapung oleh nelayan kira-kira 800 meter dari lokasi penemuan mangsa pertama.
Memasuki hari ketiga operasi SAR, seorang lagi mangsa, Muhammad Adib Hafiy Kamal, ditemukan pada jam 11.15 pagi, kira-kira lima kilometer dari lokasi kejadian.
Sharizal berkata, dia turut berada di kawasan pantai sejak hari pertama kejadian bagi membantu usaha mencari Haiman dan hanya sempat tidur sekitar dua hingga tiga jam sehari.
Saya bersama adik ada meronda-ronda setiap masa untuk mencarinya dan hanya dapat tidur dua ke tiga jam sahaja.
Ibunya sedang menjaga ayah Haiman yang sudah tiga tahun mengalami strok jadi tak datang ke pantai. Balik lah Man, pak uda dan ahli keluarga setia menunggu. Kami juga reda dengan ujian ini.
Sumber: Sinar Harian







