Bapa kepada kanak-kanak yang parah dipercayai digigit anjing liar di Batu Pahat, Johor, Mohammad Hamizi merayu orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar kecederaan anaknya dan segera menurunkan gambar berkenaan jika sudah dimuat naik di media sosial.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Murid Digigit Anjing Liar Di Sekolah, Ini Cerita Guru

‘Take down’ gambar anak

Mohammad Hamizi berkata, dia sendiri tidak sanggup melihat gambar tersebut kerana begitu mengganggu emosinya.

Saya minta pada semua yang ada gambar kecederaan anak saya, minta diturunkan. Itu sangat mengganggu emosi saya. Saya sendiri tidak sanggup nak melihat. Tolong jangan sebarkan lagi.

Mohammad Hamizi berkongsi perkara itu menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di TikTok Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Fared Khalid.

Dalam pada itu, Fared Khalid turut berharap orang ramai dapat menghormati permintaan keluarga terbabit dengan tidak menyebarkan gambar kecederaan kanak-kanak berkenaan.

Perkongsian tersebut tidak langsung menunjukkan keprihatinan kita, sebaliknya menambah rasa pedih di hati keluarga. Tambahan lagi, anak itu di bawah umur. Jika kita sayang pada anak ini, tolong turunkan gambar tersebut.

Dalam masa sama, Fared Khalid memaklumkan Kerajaan Johor akan menjalankan operasi secara besar-besaran bagi menangkap lima ekor anjing liar yang dipercayai menyerang dan menggigit adik Nur Haira Watikah.

Selain itu, Kerajaan Johor menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) turut menyampaikan sumbangan tunai sebanyak RM1,000 kepada keluarga Nur Haira, selain mengambil tanggungjawab menanggung keseluruhan kos rawatan serta pemulihannya.

Sabtu lalu, Nur Haira Watikah, 2, dilaporkan parah selepas dipercayai digigit lima ekor anjing liar di hadapan rumahnya di Kampung Tambak, Sungai Kelambu, Peserai, Batu Pahat.

Sumber: TikTok