Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta (AMFF) 2026 membuka tirai, namun isu jerebu yang melanda negara ketika ini turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan vendor dan pihak penganjur.

Lebih mencabar, sebahagian besar aktiviti festival yang bakal berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa itu diadakan di kawasan terbuka, sekali gus menjadikan keadaan kualiti udara antara perkara yang perlu diberi perhatian.

Artikel Berkaitan: Rayme Zainal Fokus Bidang Penganjuran Acara, Gema Raya Putrajaya 2026 Jadi Penanda Aras Baharu

Artikel Berkaitan: Rayme Zainal & Pinn Yang Bantu Usahawan Tempatan, Promosi Budaya Malaysia

Pandang serius isu jerebu – Rayme Zainal

Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal berkata, pihaknya sememangnya mengambil serius kebimbangan yang disuarakan vendor, terutama sekiranya keadaan jerebu berterusan sepanjang festival berlangsung.

Perkara ini memang diutarakan oleh vendor-vendor kami juga. Sebagai penganjur, keperluan kami banyak bergantung kepada pandangan rakan strategik kami, MOTAC.

Saya percaya MOTAC akan memberikan cadangan bagaimana kita perlu menyesuaikan keadaan sekiranya masalah jerebu berterusan.

Jelas Rayme, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) juga akan menjadi antara perkara utama yang dipantau sepanjang enam hari penganjuran AMFF 2026.

Sekiranya bacaan IPU menunjukkan peningkatan mendadak, pihak penganjur akan melihat kepada nasihat serta garis panduan yang diberikan oleh pihak berkuasa sebelum menentukan tindakan selanjutnya.

Contohnya kalau tiba-tiba bacaan IPU meningkat, mungkin akan ada nasihat tertentu yang perlu kita ikut.

Kebimbangan itu memang ada, tetapi kita mendoakan usaha kerajaan termasuk langkah pembenihan awan dapat membantu mengurangkan keadaan jerebu dan semoga situasi semakin baik.

Ikut arahan kerajaan

Dalam pada itu, Rayme menegaskan bahawa keselamatan dan kesihatan pengunjung serta peniaga tidak akan diketepikan hanya demi memastikan festival berjalan seperti dirancang.

Malah, sekiranya terdapat arahan atau nasihat rasmi supaya aktiviti dihentikan buat sementara waktu, pihak penganjur bersedia mempertimbangkan keputusan berkenaan.

Kalau ada arahan bahawa kualiti udara tidak sesuai dan kita dinasihatkan untuk tutup atau hentikan sementara, kita akan pertimbangkan perkara itu.

Kita tidak mahu menjejaskan kesihatan peniaga. Walaupun kita berniaga, kita tetap perlu mengambil kira sudut lain termasuk soal kesihatan.

Untuk rekod, AMFF 2026 bakal berlangsung dari 11 hingga 16 September di Taman Tasik Titiwangsa bersempena Festival Budaya Malaysia dan sambutan Hari Malaysia.

Mengangkat tema ‘Kita Malaysia: Seni, Budaya & Citarasa’, festival anjuran Raydiates Blue Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu bukan sekadar menawarkan makanan, malah turut menggabungkan elemen seni, budaya, muzik, kecantikan, gaya hidup, kecergasan dan komuniti.

Menariknya, lebih 80 vendor daripada pelbagai segmen perniagaan dijangka memeriahkan edisi kali ini dengan makanan masih menjadi tarikan utama buat pengunjung.

Tahun ini kami mahu membawa pengalaman itu lebih jauh di mana makanan, seni, muzik, gaya hidup dan komuniti menjadi satu identiti bersama dengan semangat ‘Kita Malaysia’ sempena Festival Budaya Malaysia dan Hari Malaysia.

Bagi yang mencari hiburan pada malam sambutan Hari Malaysia, Malam Kita Malaysia pada 15 September pastinya antara acara yang tidak boleh dilepaskan apabila mini konsert sempena Ambang Hari Malaysia bakal dianjurkan.

Kemeriahan kemudian diteruskan pada 16 September menerusi SimplyFit Zumba Malaysia Day, sekali gus melengkapkan pengisian festival yang menggabungkan hiburan, gaya hidup dan aktiviti kecergasan.

AMFF 2026 turut mendapat sokongan beberapa rakan strategik termasuk SimplySiti, Anytime Fitness dan SimplyFit Zumba Malaysia Day.

Melihat kepada sambutan tahun sebelumnya, AMFF 2025 yang berlangsung di pekarangan parkir Stadium Nasional Bukit Jalil berjaya menarik lebih 10,000 pengunjung.

Lebih istimewa, edisi tersebut turut menyaksikan kemunculan khas Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi acara Fun Run dan podcast.

Selepas selesai penganjuran di Taman Tasik Titiwangsa, AMFF 2026 tidak berhenti di situ apabila festival berkenaan akan dibawa pula ke MAEPS, Serdang dari 9 hingga 11 Oktober sempena MySihat Expo 2026.

Untuk edisi di MAEPS, skala penganjuran dijangka jauh lebih besar dengan kira-kira 600 vendor daripada sektor makanan, kesihatan dan kesejahteraan, sukan, kecergasan, hiburan serta komuniti.

Namun buat masa ini, perhatian pastinya terarah kepada keadaan jerebu dan bacaan IPU menjelang pembukaan AMFF 2026.

Dengan kesihatan pengunjung serta vendor menjadi keutamaan, keputusan penganjur dijangka bergantung kepada perkembangan situasi semasa dan nasihat pihak berkuasa.