Bagi sesetengah penyanyi, memiliki single sendiri mungkin menjadi impian yang dibina sejak kecil. Namun bagi Azeva, perjalanan itu berlaku dengan cara yang berbeza.

Penyanyi, pelakon dan pengacara berusia 25 tahun itu mengakui bidang nyanyian bukan sesuatu yang pernah benar-benar dikejarnya.

Kini, menerusi single sulung Tanpa Rasa Jemu, anak gadis penerbit terkenal Datuk A Aida. itu akhirnya membuka satu lagi lembaran baharu dalam perjalanan seninya.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Mama Tak Pernah Marah, Kongkong & Ambil Satu Sen Pun Duit Adik’ – Azeva Hargai Pengorbanan A Aida

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Saya Janji Untuk Buat Semua Mama Suruh’ – Azeva Nekad Ceburi Industri Seni Demi Datuk A Aida

Pernah ‘Give Up’ Selepas Masuk Studio

Hubungan Azeva dengan dunia rakaman sebenarnya bermula beberapa tahun lalu ketika dia berusia sekitar 18 atau 19 tahun. Ketika itu, ibunya meminta dia mencuba menyanyi sebelum membawanya ke studio.

Namun pengalaman tersebut tidak berakhir seperti diharapkan apabila Azeva banyak menerima teguran sepanjang proses rakaman sehingga membuatkan dia hilang keyakinan.

“Saya banyak ditegur, kenapa bahagian ini tak sedap dan kenapa tak buat macam ini. Saya terus give up dan balik. Sejak itu saya memang tolak tepi bab menyanyi,” katanya.

Namun segala-galanya berubah selepas A. Aida berdepan detik getir apabila dimasukkan ke unit rawatan rapi dan koma selama tiga hari. Menurut Azeva, doktor ketika itu turut meminta keluarganya bersedia dengan sebarang kemungkinan apabila harapan untuk ibunya kembali pulih dikatakan sangat tipis.

@xtra_my Ini dia buah tangan pertama selebriti cantik, Azeva sebagai penyanyi. Anak gadis Datuk A Aida mempertaruhkan lagu balada berjudul Tanpa Rasa Jemu. Tahniah Azeva 🫶🏻 . Best kan lagu ni, apa pendapat korang? Komen & follow OHBULAN! dan Xtrapedia untuk berita terkini. . #xtramy #xtratpedia #xtrapediaKR ♬ original sound – XTRA

Situasi itu membuatkan Azeva mula memikirkan semula banyak perkara dalam hidupnya, termasuk segala permintaan ibunya yang pernah ditolak sebelum ini. Dia kemudian berjanji kepada diri sendiri, sekiranya ibunya kembali sedar, dia akan cuba melakukan apa sahaja yang diminta.

Masuk Studio Kerana Mahu Tunaikan Janji

Daripada situlah Tanpa Rasa Jemu akhirnya lahir sebagai sesuatu yang lebih peribadi buat Azeva. Walaupun pada mulanya masih berat hati untuk kembali ke studio, dia memilih untuk melakukannya demi menggembirakan ibunya.

“Mulanya bila disuruh masuk studio, saya rasa malas dan tak nak. Tapi kali ini saya sudi recordlagu ini untuk mama saya. Bila mama bangun, saya memang bersyukur dan reda hati nak buat semua benda yang dia suruh,” ujarnya.

Menariknya, Azeva tidak cuba menggambarkan dirinya sebagai penyanyi yang sudah lengkap dari segi pengalaman. Dia sendiri mengakui Tanpa Rasa Jemu bukan lagu yang mudah untuk dibawakan, apatah lagi ketika itu dia masih belum mempunyai pengalaman menyanyi secara profesional.

“Lagu ini sebenarnya susah sangat dan saya tak ada pengalaman menyanyi pun. Saya baru nak menjejakkan kaki dalam industri. Saya harap kalau ada kekurangan, orang dapat terima,” katanya.

Terus Rakam Sebelum Berubah Fikiran

Malah, Azeva mengakui proses rakaman lagu tersebut berlaku dengan agak pantas kerana dia sendiri bimbang akan berubah fikiran sekiranya diberi terlalu banyak masa untuk berfikir.

“Saya terus record saja keesokan harinya sebab takut saya ubah fikiran pada saat akhir,” katanya.

Pengakuan itu mungkin menggambarkan Azeva masih berdepan rasa ragu terhadap kemampuan sendiri, tetapi pada masa sama menunjukkan kesediaannya untuk mencuba sesuatu yang selama ini dielakkan.

Selepas melalui proses rakaman, Azeva mula memberi perhatian lebih serius terhadap aspek vokal. Menerusi kelas yang diikuti, dia mula mempelajari teknik suara, sebutan dan kawalan vokal sebagai persediaan untuk tampil membuat persembahan secara langsung.

Perjalanan itu penting kerana Tanpa Rasa Jemu bukan sekadar menjadi single pertamanya, tetapi juga titik permulaan kepada proses Azeva mengenali kemampuan dan identiti sendiri sebagai penyanyi.

Nama Keluarga Besar, Harapan Pun Datang Bersama

Tidak dapat dinafikan, Azeva turut datang daripada keluarga yang cukup dekat dengan industri seni. Ibunya sendiri menulis sepenuhnya lirik Tanpa Rasa Jemu, malah beberapa karya nukilan A. Aida sebelum ini pernah mendapat perhatian besar dalam industri muzik.

@xtra_my Single pertama Azeva, Tanpa Rasa Jemu menjadi lagu tema filem Bisikan Nafsu yang dilakonankan oleh Azeva sendiri bersama Aniq Suhair. . Mengikut jejak langkah ibunya, Datuk A Aida sebagai produser, karya terbitan Azeva ini bakal ditayangkan pada 1 Oktober 2026. . Siapa tak sabar nak tonton nanti? Komen & follow OHBULAN! dan Xtrapedia untuk berita terkini. . #xtramy #xtratpedia #xtrapediaKR ♬ original sound – XTRA

Apabila ditanya mengenai kemungkinan lagu tersebut melangkah lebih jauh termasuk ke pentas Anugerah Juara Lagu, Azeva bagaimanapun memilih untuk tidak meletakkan tekanan terlalu tinggi terhadap dirinya.

“Kalau masuk AJL, semua penyanyi memang nak masuk AJL. Tapi saya rasa yang layak masuk sebenarnya mak saya,” katanya sambil berseloroh.

Mungkin terlalu awal untuk menentukan sejauh mana perjalanan Azeva sebagai penyanyi akan pergi. Namun apa yang jelas, Tanpa Rasa Jemu menjadi satu permulaan yang cukup besar buat seseorang yang pernah langsung tidak mahu berada di depan mikrofon.

Daripada pernah serik masuk studio, menolak bidang nyanyian sehinggalah kini bersedia membawa lagu sendiri di pentas, Azeva masih mempunyai ruang yang panjang untuk belajar.

Mungkin buat masa ini, perkara paling penting bukan sama ada dia sudah menemui suara terbaiknya, tetapi keberanian untuk terus mencarinya tanpa rasa jemu.