Sekitar tahun 2014, dunia hiburan Hollywood telah digemparkan dengan satu berita ‘pembunuhan’ beramai-ramai yang dilakukan oleh anak kepada pengarah dan penerbit popular iaitu Peter Rodger. Insiden cemas itu berlaku hanya kerana suspek merasai dirinya ‘tidak laku’ dan sering disisih oleh golongan wanita.
Siapa Elliot Rodger?
Elliot Oliver Robertson Rodger merupakan anak lelaki kepada Peter Rodger dan Li Chin. Bapa Elliot iaitu Peter bekerja dalam bidang perfileman, mengarahkan iklan televisyen dan terlibat dalam filem hit “Hunger Games. Sementara ibunya, Li Chin merupakan seorang jururawat kelahiran Malaysia. Elliot dilahirkan di London sebelum berpindah ke California bersama adik perempuannya, Georgia dan kedua ibu bapanya ketika dia berusia lima tahun.
Ketika Elliot berusia tujuh tahun, Peter dan Chin bercerai. Setahun kemudian, Peter telah mendirikan rumah tangga dengan Soumaya Akaaboune, seorang aktris Maghribi yang pernah muncul di blockbuster Hollywood “Green Zone.” Ia juga merupakan tahun Elliot memulakan perjalanan hidupnya dengan menjalani terapi.
Menurut sumber, Elliot dikatakan mempunyai masalah kesihatan mental dan sejak dia berusia lapan tahun lagi, Elliot sudah berjumpa dengan ramai pakar terapi. Tetapi Elliot tidak pernah disahkan mengalami masalah mental. Elliot boleh disifatkan sebagai seorang remaja yang sangat baik dan lemah-lembut tetapi sayangnya dia tidak memiliki ramai kawan. Oleh hal demikian, Elliot sering bertukar-tukar sekolah.
Seorang introvert, tak ada kawan
Pada usianya mencecah 13 tahun, Elliot yang merupakan seorang introvert itu telah mula melibatkan diri dalam permainan secara atas talian. Boleh dikatakan itu satu-satunya kawan yang Elliot miliki ada hero dan penjahat ‘fantasi’ yang ada dalam permainan video tersebut.
Elliot juga sering menjadi mangsa buli di sekolahnya sehinggakan ada di antara pembuli tergamak membaling makanan ke arahnya, memasukkan Elliot ke dalam loker dan lebih mengejutkan apabila ada pembuli tergamak melekatkan kepala Elliot di meja sekolah menggunakan tape ketika dia sedang tidur. Walaupun begitu, Elliot tidak pernah menceritakan perkara tersebut kepada ahli keluarganya yang lain.
Bapa Elliot menyifatkan anaknya itu seorang yang pendiam dan pemalu serta memiliki sifat Obsessive Compulsive Disorder (OCD). Hal ini kerana, Elliot akan meletakkan pinggan yang digunanya pada tempat yang sama setiap hari, memakai baju yang sama dan sebagainya. Malah ada yang beranggapan Elliot memiliki masalah sindrom Esperger iaitu berhadapan masalah kesukaran bersosial dan berkomunikasi.
Hantar emel ‘diari’ hidup
Namun, segala keperitan dan kesengsaraan yang dilaluinya diceritakan oleh Elliot menerusi video terakhirnya di Youtube dan di blog “Elliot Rodger’s Official Blog. Di situlah, Elliot menceritakan tentang kesunyian dan sering ‘ditolak’ oleh manusia. Segala-galanya bermula apabila Elliot mula merasai dirinya ‘tidak laku’. Dia mula obses dengan wanita dan seks. Malah sekiranya ada wanita yang menolak atau tidak melayannya, Elliot akan mula bertindak agresif.